Selepas memberi bayangan dengan iklan Suzuki Fronx, Suzuki Malaysia memuatkan pula hantaran tentang model Suzuki eVitara — EV pertama jenama Jepun itu — di laman rasmi media sosial untuk Malaysia, dengan kata-kata: “Adakah kita akan dapat melihat kereta ini di jalan raya Malaysia dalam masa terdekat?” Hanya masa akan tentukan.”
Ini jelas menunjukkan bahawa model kembar bagi EV Toyota Urban Cruiser ini ada dipertimbangkan untuk pasaran tempatan. Langkah ini juga memperlihatkan yang pengedarnya, Naza Eastern Motors bersungguh mahu membawa Suzuki ke dalam arus utama automotif Malaysia dengan menawarkan unit CBU untuk kelompok tertumpu ketika ini.
eVitara/Urban Cruiser pada asasnya adalah kereta yang sama, dan menjadi antara tarikan ketika GIIAS 2025. Model Suzuki berkenaan diperkenalkan dahulu, kemudian model Toyota.
SUV elektrik ini mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,275 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm — yang meletakkannya sebagai SUV dalam segmen B. Sistem janaannya terdiri daripada versi pacuan roda depan dengan 144 PS/189 Nm FWD dan bateri 49 kWj, versi pacuan roda depan FWD motor tunggal dengan bateri 61 kWj yang menjana 174 PS/189 Nm, dan juga versi AWD dua motor dengan bateri 61 kWj — bateri yang paling besar memberikan jarak 500 km.
Di dalam, papan pemukanya menempatkan skrin sentuh 10.1-inci di tengah dan panel instrumen 10.25-inci. Model ini dikilangkan di India, tetapi belum dilancarkan di sana. Jika merujuk kepada model kembar dari Toyota, ia antara lain datang dengan lampu ambient 12-warna, kamera 360-darjah, pembesar suara JBL, kerusi pemandu larasan kuasa, AEB, ACC, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.