Zeekr 009 Executive kini telah pun diumumkan harga rasminya untuk pasaran Malaysia, dan MPV elektrik ini berharga RM299,800, di mana ia RM10,200 lebih murah berbanding harga pengenalannya sewaktu diperkenalkan pada Mei tahun ini.
Setiap tempahan Zeekr 009 Executive akan diberikan pakej tempahan percuma, yang merangkumi pemasangan pengecas Wallbox percuma, pengecas mudah alih percuma, serta penebat haba tingkap solar percuma, bersama-sama dengan perkhidmatan sambungan percuma selama satu tahun yang terdiri daripada Aplikasi Zeekr, navigasi terbina dalam, dan kemas kini perisian over-the-air (OTA).
Walaupun 009 Executive merupakan model permulaan bagi barisan MPV jenama ini dengan sistem pacuan roda hadapan menggunakan enjin motor tunggal berkuasa 340 PS/373 Nm, berbeza dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dwi-motor pada varian lain, 009 Executive tetap dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 116 kWh yang sama, yang menawarkan jarak pemanduan mengikut piawaian WLTP sejauh 604 km, berbanding 582 km bagi varian AWD.
Dari segi pengecasan, 009 Executive menyokong pengecasan sehingga 11 kW AC, yang mampu mengecas dari 0-100% dalam 13.5 jam. Manakala untuk pengecasan pantas, ia menyokong sehingga 150 kW DC, membolehkan pengecasan dari 10-80% hanya dalam 30 minit.
Spesifikasi rangkaian kuasa yang lebih sederhana untuk varian Executive membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat, berbanding 4.5 saat bagi varian dwi-motor 612 PS/693 Nm. Kelajuan maksimum pula ialah 210 km/j.
009 Executive hadir dengan spesifikasi yang sedikit berbeza pada harganya berbanding varian Luxury dan Ultra Luxury. Walaupun varian ini pada awalnya dilancarkan dengan sistem suspensi udara single-chamber, ia kini telah dikemas kini dengan suspensi udara dual-chamber. Di bahagian dalamnya, varian Executive tidak dilengkapi dengan kunci pintu hadapan elektronik, manakala pelarasan ruang stereng adalah manual dan bukannya elektrik.
Bagi versi terbaharu 009 Executive, ia masih mengekalkan ciri seperti lampu utama matrix LED dengan lampu tinggi adaptif dan sistem pencahayaan hadapan, lampu nyalaan siang (DRL) LED, pencahayaan ambien dalaman, upholsteri kulit Nappa/Ultrasuede, tempat duduk barisan pertama dan kedua berkuasa elektrik (dengan fungsi pengudaraan dan urutan), tujuh beg udara serta kelengkapan ADAS.
Untuk pilihan warna luaran, Zeekr 009 Executive ditawarkan dalam Crystal White dan Phantom Black, manakala warna Mineral Green hanya dikhaskan untuk varian Luxury dan Ultra Luxury. Zeekr 009 Executive turut diberikan waranti kenderaan keseluruhan selama lima-tahun atau 150,000 km, serta waranti motor pacuan dan bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km.
Risalah Zeekr 009 2025
GALERI: 2025 Zeekr 009 Executive
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.