Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa buat masa ini Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan. Ini termasuklah mempelbagaikan mekanisme pelaksanaan meliputi penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa membebankan rakyat.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Ismail Sabri (BN-Bera) di Dewan Rakyat semalam yang meminta MoF menyatakan mekanisme yang digunakan bagi penyasaran subsidi RON95 termasuk kaedah untuk mengenal pasti golongan mana yang layak menerimanya.
“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai 2025, Kerajaan sedang dalam perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian lanjut bakal diumumkan menjelang akhir September ini. Sehubungan itu, Kerajaan juga sedang memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan.
“Ini termasuklah mempelbagai mekanisme pelaksanaan meliputi penggunaan MyKad, e-dompet dan aplikasi syarikat minyak bagi memastikan ikhtiar ini dilaksanakan secara efisien tanpa membebankan rakyat,” katanya.
Menurut MoF lagi, Anwar juga telah memberi jaminan bahawa sekurang- kurangnya 85% rakyat Malaysia tidak akan terkesan secara langsung daripada pelaksanaan langkah ini, dan hanya bukan warganegara serta mereka yang benar-benar berkemampuan akan dikecualikan daripada menerima subsidi.
Dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang sama juga, Anwar juga menjelaskan pemilikan hartanah dan kenderaan mewah akan dijadikan antara kriteria tambahan dalam menentukan kelayakan seseorang individu bagi subsidi petrol RON95. Manakala kriteria lain juga merangkumi pendapatan bulanan, dan kerajaan berpandukan butiran daripada pelbagai sumber data, kata Anwar.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.