Berita baik selepas KTM berjaya mendapatkan Bajaj sebagai pelabur utama, produksi dua model mereka, iaitu 690 Enduro R dan 690 SMC R diteruskan dengan model tahun 2026 diperkenalkan dengan beberapa peningkatan.
Pertama sekali sudah tentu, penampilan disegarkan semula dengan bukan sahaja warna baru, tapi juga panel badan yang lebih agresif. Namun, yang lebih penting adalah di bahagian enjin, bagi model yang sudah berusia belasan tahun ini.
Unit satu silinder 693 cc LC4 masih lagi digunakan, tetapi beberapa bahagian diubah termasuk crankcase, penutup tepi magnet dan klac, serta sistem aliran minyak bagi meningkatkan ketahanan serta prestasinya. Bersama padanan transmisi enam kelajuan, kuasa maksimum yang mampu dihasilkan oleh kedua-dua model ini adalah 79 PS dan tork 73 Nm.
Peningkatan seterusnya adalah di bahagian meter, di mana 690 Enduro R dan 690 SMC R 2026 kini didatangkan dengan skrin TFT 4.2 inci berwarna yang boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi KTM Connect (pilihan tambahan), bersama butang kawalan yang direka semula.
Khas untuk 690 Enduro R, terdapat satu fungsi baru yang dipanggil sebagai Dynamic Slip Adjust (dalam mod Rally yang disediakan sebagai pilihan tambahan), yang boleh melaras sistem kawalan cengkaman secara sendiri bergantung kepada keadaan jalan. Turut ditambah untuk model tahun 2026 ini adalah soket USB, lampu utama LED, Cornering ABS serta Cornering MTC (kawalan cengkaman).
Bahagian suspensi juga diberitahu dilaras semula, dengan perkakasan yang terdiri daripada fork WP-Xplor USD 48 mm dan monoshock WP Xplor pada Enduro R, dan fork WP-Apex 48 serta monoshock WP-Apex untuk SMC R. Kesemuanya boleh dilaras secara penuh.
Datang dengan padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang serta jarak gerak suspensi yang lebih panjang, 690 Enduro R mencatat tinggi tempat duduk 935 mm bersama kelegaan dari tanah 265 mm, manakala 690 SMC R yang menggunakan rim 17 inci depan dan belakang mencatat 899 mm/237 mm. Berat keseluruhan dan kapasiti tangki bahan api kedua-duanya adalah sama, iaitu 162 kg dan 13.3 liter.
GALERI: KTM 690 Enduro R 2026
GALERI: KTM 690 SMC R 2026
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.