Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda (KDYMM SPB) Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memandu Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) semalam. Ia melibatkan perjalanan selama sejam secara keseluruhan antara Kuala Lumpur-Rawang-Kuala Lumpur dan dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Seri Paduka Baginda berangkat tiba di Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada jam 9.15 pagi sebelum ke kokpit ETS2 dan kemudian berkenan dipersembahkan taklimat pemanduan di dalam kokpit oleh Kapten Roslan, Kapten Hairul Yani dan Kapten Syukri Ghazali. Turut bersama dalam taklimat itu, Sadun Abdullah, Ketua Kawalan Operasi KTMB dan Kamal Asmawi, Inspektor Lokomotif.
Turut mengiringi bersama Seri Paduka Baginda dalam pemanduan berkenaan ialah Dato’ Seri Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan Ir Ahmad Nizam Mohamed Amin, Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas Ketua Pegawai Eksekutif KTMB).
Sebelum ini, Sultan Ibrahim berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila menjadi Sultan pertama di negara ini memiliki Lesen Memandu Lokomotif Berkuasa Tinggi Kelas 26 pada tahun 2010 dan pernah memandu kereta api pada program Kembara Mahkota Johor (KMJ 2010).
Seri Paduka Baginda juga melakukan prosedur turn table bagi memusingkan lokomotif 86 tan dalam tempoh 10 minit di Stesen Gemas, Negeri Sembilan, sekali gus diiktiraf sebagai Sultan pertama memandu kereta api sejauh 391.3 kilometer selama tiga hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.