Baru-baru ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan sebanyak 70,057 kereta baharu telah pun dihantar kepada pelanggan di negara ini pada Julai (naik 28% berbanding Jun) lalu. MBSB Investment Bank pula percaya jualan kenderaan pada bulan Ogos ini lebih baik memandangkan banyak syarikat kereta mengadakan promosi Merdeka dan juga ketersediaan stok yang dipertingkatkan, laporan Bernama.
“Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan penumpang dijangka menerima sedikit sokongan daripada pelancaran model baharu pada separuh kedua tahun 2025, manakala pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini mungkin dapat membantu meningkatkan sentimen pembelian,” menurut nota kajian itu semalam.
Menurut Kenanga Investment Bank pula, susulan permintaan berterusan dalam segmen mampu milik, pelancaran baharu yang menarik serta down-trading trend dalam kalangan pembeli pasaran pertengahan, pengeluar kereta nasional (terutamanya Perodua) terus merampas bahagian pasaran daripada pengeluar bukan nasional, dengan Mazda paling terjejas akibat persaingan sengit dari China dan kelewatan pelancaran model baharu.
“Untuk Julai 2025, Chery berada di tempat ketiga manakala BYD jatuh ke tempat keempat, di mana kami percaya ia berpunca daripada pengurangan bahagian pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila lebih banyak jenama EV memasuki pasaran,” katanya.
Bank itu menambah bahawa ia mengekalkan unjuran TIV sebanyak 805,000 unit bagi tahun 2025, dipacu oleh minat pembelian awal susulan penangguhan peraturan duti eksais baharu sehingga akhir 2025.
Kenanga Investment Bank menjangkakan Perodua akan mendapat manfaat paling besar dengan penguasaan pasaran sebanyak 44%, disokong oleh kadar lokalisasi tertinggi, pelancaran model baharu yang menarik, peningkatan pendapatan isi rumah, kenaikan gaji minimum bermula Februari, serta pasaran buruh yang stabil.
Namun, bank itu menyatakan bahawa segmen premium mungkin berdepan cabaran apabila pelanggan sasarannya berkemungkinan menangguhkan pembelian baharu, beralih kepada model lebih kecil atau menukar kepada hibrid dan EV selepas subsidi petrol RON95 bersasar diperkenalkan.
Ia menambah bahawa belanjawan isi rumah dijangka tertekan akibat kos bahan api yang lebih tinggi serta kenaikan tarif asas sebanyak 14% bagi penggunaan tinggi, yang boleh mendorong mereka yang telah memasang panel solar untuk beralih kepada EV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.