Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

Kebarangkalian untuk menganjurkan semula perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini mula kedengaran semula. Namun, bukan semua pihak teruja dengan idea ini, sebahagiannya kerana kos yang terlibat terlalu tinggi.

Sebilangan pihak sangat prihatin dengan kos jutaan ringgit yang diperlukan untuk membawa penganjuran perlumbaan itu kembali ke Malaysia. Wang berkenaan sebetulnya boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang lebih penting dalam situasi ekonomi dan sosial semasa dalam negara, lapor The Sun.

Ahli ekonomi, Geoffrey Williams berkata, kerajaan tidak sepatutnya menjadi pihak yang menanggung kos tersebut menggunakan dana awam. “Jika penganjuran F1 mampu dilakukan dari sudut pandang ekonomi dan perniagaan, maka ia perlu didanai oleh sektor swasta. Dan sekiranya ia tidak boleh dilakukan dari sudut pandang pelaburan swasta, maka pelaburan daripada kerajaan juga sama sekali tidak masuk akal,” ujarnya.

Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

Beliau menambah, sepanjang perjalanan penganjuran F1 di Malaysia selama 19 tahun dari 1999 hingga 2017 sepatutnya sudah banyak memberi pengajaran. “Ia tidak cekap secara kos dan tidak memberikan kesan ganda bagi ekonomi dan sosial seperti yang digambarkan ketika ingin menarik penglibatan kerajaan di dalamnya. Sekiranya ia memberikan manfaat, tentulah ia akan diteruskan. Tetapi hakikatnya tidak, dan disebabkan itu ia dihentikan,” tambahnya.

Akhbar berkenaan juga turut memetik seorang lagi sumber yang dirahsiakan identitinya, yang memberi pandangan hampir sama dengan menyatakan bahawa kos yang terlibat adalah di luar kemampuan, dan akan memberi kesan yang tersasar jauh daripada keutamaan kewangan negara.

“Untuk membelanjakan US$70 juta (sekitar RM295 juta) bagi satu perlumbaan F1 adalah sangat tidak perlu. Selepas semua kos lain diambil kira, Malaysia perlu membayar lebih daripada RM300 juta hanya untuk satu acara,” jelasnya.

Malaysia tak perlu anjurkan semula F1 — ahli ekonomi

Sumber berkenaan mencadangkan dana itu lebih baik digunakan untuk membantu warga Malaysia yang memerlukan. “RM300 juta itu boleh dijadikan subsidi kepada 20,000 keluarga B40 dengan nilai RM15,000 setiap keluarga, yang akan membantu mereka secara kewangan untuk membolehkan mereka memiliki rumah sendiri. Membantu 20,0000 keluarga akan secara langsung memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 100,000 warga negara Malaysia,” ujarnya.

Beliau mempersoalkan keperluan untuk menganjurkan semula F1. “Kita sudah menganjurkan F1 selama 19 tahun berturut-turut. Itu masih belum cukup? Dengan lebih banyak negara yang mahu menganjurkannya, kos dan yuran juga akan semakin tinggi. Pemilik F1 adalah orang berniaga dan ingin mengaut untung, bukannya pemurah. Pendekatan lain adalah untuk untuk kita menggunakan wang tersebut untuk memperbaiki kehidupan warga Malaysia berbanding untuk bersaing mendapatkan prestij,” jelasnya.

Cakap-cakap berkenaan kemungkinan kembalinya F1 ke Sepang adalah selepas Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif awal minggu ini berkata bahawa adalah satu kesilapan bagi Malaysia untuk menghentikan penganjuran F1, dan memberi bayangan bahawa perbincangan untuk itu akan dimulakan lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required