Selain dari Jaecoo J5, Omoda Jaecoo Malaysia turut menayangkan Omoda C9 PHEV ketika berlangsungnya Omoda | Jaecoo Carnival di Desa Park City yang bermula hari ini. Seperti namanya, ini adalah versi plug-in hybrid untuk SUV segmen-D Omoda C9 yang telah pun dilancarkan di Malaysia pada Disember tahun lalu.
Rupa luaran bagi C9 PHEV ini adalah hampir sama sepenuhnya dengan varian yang dijana oleh enjin petrol penuh. Perbezaan yang boleh dilihat hanyalah ada empat kemasan empat segi yang kecil pada pembahagi kemasan tengah gril bawah bampar hadapan, emblem PHEV serta lencana ‘C9’ berwarna biru pada pintu tailgate belakang, dan ada satu penutup pada bahagian kiri belakang seperti penutup pengisi minyak yang menyimpan port pengecas bateri SUV hibrid elektrik ini.
Bahagian kabin varian PHEV ini juga menampilkan rupa yang sama seperti C9 dengan enjin petrol penuh. Apa yang berbeza adalah suis putar untuk memilih mod pemanduan di bahagian tengah papan pemuka model petrol penuh diubah kepada fungsi pemilih mod hibrid atau elektrik penuh pada varian PHEV ini.
C9 PHEV ini juga mempunyai perincian seperti model EV sebenar kerana tidak mempunyai butang penghidup enjin pada papan pemuka, dan kereta ini boleh dihidupkan dan dipandu sebaik sahaja ia mengesan kunci kereta berada pada tempat duduk pemandu.
Dan sudah tentu, perbezaan paling besar adalah dari segi unit rangkaian kuasa di mana C9 PHEV ini digerakkan oleh Super Hybrid System (SHS) Omoda Jaecoo. Ia menampilkan enjin petrol 1.5 liter empat-silinder turbo kitaran Miller yang menghasilkan 143 PS dan tork maksima 215 Nm, digandingkan dengan transmisi khas hibrid (DHT) tiga kelajuan yang dipek bersama dua motor elektrik masing-masing berkuasa 102 PS/170 Nm dan 122 PS/220 Nm bagi memacu roda hadapan.
Tidak cukup dengan itu gandar belakang turut dipacu oleh satu lagi motor elektrik berkuasa 283 PS/310 Nm. Ini bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda pada SUV ini, malah menawarkan kuasa gandingan keseluruhan 605 PS dan tork maksima 915 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat!
Sebagai perbandingan, C9 dalam varian enjin pembakaran dalaman pasaran Malaysia dibekalkan dengan enjin petrol turbo 2.0 liter empat-silinder sebaris dengan sistem suntikan bahan api terus menghasilkan kuasa 261 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Semua motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 34.46-kWj. Bateri yang agak besar untuk sebuah model hibrid ini mampu memberikan jarak gerak elektrik penuh tanpa enjin dihidupkan sejauh 150 km menurut kitran ujian WLTP. Manakala dengan satu tangki petrol penuh, ia boleh bergerak sekitar 1,100 km dengan menggunakan mod Hybrid.
Bateri berkenaan boleh di cas seperti EV sebenar, di mana C9 PHEV ini boleh menerima cas pantas DC sehingga 70 kW bagi memenuhkan bateri dari 30 hingga 80% dalam masa 25 minit. Ia juga menyokong sistem cas AC sehingga 6.6 kW, memmbolehkan kuasa elektrik diisi dari 30 hingga 100% dalam masa lima jam setengah.
Perincian-perincian mekanikal lain masih lagi sama seperti varian dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk sistem suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang, serta penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC) yang kini turut telah diberikan pada varian AWD pada model dengan enjin petrol penuh.
Harga sebenarnya masih belum diumum namun Omoda Jaecoo Malaysia memberikan anggaran bahawa ia akan dijual pada harga sekitar RM220,000. Jadi kami jangkakan model ini mungkin akan menerima kelengkapan standard yang sama seperti varian petrol penuh di mana buat masa sekarang varian asas C9 2WD dijual pada harga RM168,800 dan C9 AWD dijual pada harga RM188,800.
Lebih perincian berkenaan Omoda C9 PHEV ini akan diumum ketika pelancarannya nanti. Omoda Jaecoo Malaysia belum mengumumkan tarikh pelancaran sebenarnya, tetapi hanya memberikan bayangan bahawa ia akan dilancarkan pada ‘lewat tahun ini’. Jika anda berminat nak melihat model ini dengan lebih dekat, boleh kunjungi Omoda Jaecoo Carnival yang berlangsung dari hari ini, 21 Ogos hingga 24 Ogos nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.