Omoda | Jaecoo Carnival di Desa Park City dari 21-24 Ogos – J5 dan C9 PHEV dipertonton, tawaran Merdeka

Omoda | Jaecoo Carnival di Desa Park City dari 21-24 Ogos – J5 dan C9 PHEV dipertonton, tawaran Merdeka

Jika anda berminat untuk melihat atau mengetahui berkenaan mana-mana model dari Omoda | Jaecoo, atau sudah pun ada model dari jenama tersebut yang sudah dirancang untuk dibeli, ini adalah acara yang perlu anda datang – Omoda | Jaecoo Carnival sudah pun mula berlangsung hari ini, 21 hingga 24 Ogos yang bukan sahaja mempamerkan model-model kenderaan tenaga baharu (NEV), serta pelbagai pameran untuk mengenal teknologi yang dibawakan, malah turut menampilkan beberapa model baharu yang bakal dilancarkan pada masa hadapan.

Acara ini diadakan Tempat Parkir 3 Desa Park City, betul-betul di sebelah Plaza Arkadia, dan ia mula dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi sehingga 10 malam.

Dalam acara ini anda boleh melihat SUV segmen-B Jaecoo J5 dan juga Omoda C9 dalam versi plug-in hybrid iaitu C9 PHEV, di mana kedua-duanya bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tahun ini dengan harga anggaran masing-masing RM120,000 dan RM220,000.

Bagi Jaecoo J5 yang merupakan ‘adik kecil’ kepada Jaecoo J7, ia menerima enjin petrol penuh 1.5 liter berkuasa 147 PS dan tork maksima 210, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik. Manakala C9 PHEV yang menerima unit rangkaian kuasa Super Hybrid System (SHS) pula akan menjadi model produksi paling berkuasa ditawarkan oleh Omoda | Jaecoo di Malaysia dengan dibekalkan 605 PS dan tork maksima 915 Nm!

Bagaimana SUV tersebut dapat menjana kuasa yang begitu besar? Anda boleh pelajari berkenaan unit rangkaian kuasa SHS ini di Makmal Pengalaman SHS khas yang turut dibawa ketika Omoda | Jaecoo Carnival ini berlangsung. Makmal ini turut menampilkan enjin, transmisi dan juga bateri sebenar yang digunakan pada model produksi untuk anda lihat depan mata.

Selain itu pengunjung juga diberikan peluang untuk memandu uji barisan model-model Omoda | Jaecoo sedia ada, yang terdiri dari model J7, J7 PHEV, J8 dan juga C9 dalam varian enjin petrol penuh. Sesi ini ditawarkan selama empat hari acara ini berlangsung, namun hanya bermula pada pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 7 petang.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan, ada beberapa tawaran eksklusif ditawarkan untuk J7, dengan varian AWD tersedia dengan kadar faedah serendah 0.7% atau tujuh tahun servis percuma. Sementara itu, J7 2WD ditawarkan dengan pembiayaan serendah 0.8% atau pakej servis percuma selama lima tahun, manakala varian PHEV mendapat jaminan enjin dan bateri selama 10 tahun, 1,000,000 km. Dengan pembelian mana-mana varian J7, anda layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan Omoda C9 sebagai hadiah utama.

Bukan hanya jenama Omoda | Jaecoo, malah satu lagi sub-jenama Chery iaitu iCaur turut dibawa pada acara ini. Anda berpeluang untuk memandu uji EV iCaur 03 yang bakal dilancarkan tahun ini, dan model V23 juga turut dibawa untuk dipertontonkan kepada orang ramai.

Bukan hanya pandu uji di atas jalan raya, turut terdapat kawasan ujian khas yang dibuat bagi mensimulasikan laluan off-road bagi membolehkan anda menguji kebolehan iCaur 03 berkenaan.

Aktiviti lain untuk seisi keluarga juga disediakan ketika karnival ini, antaranya pelbagai makanan dan minuman yang dijual, manakala kanak-kanak boleh bermain di zon permainan kanak-kanak. Pingmin Market, iaitu bazar kebudayaan yang dikenali sebagai “pasar untuk masyarakat” turut ditampilkan, menawarkan kepelbagaian kulinari dan makanan artisanal.

“Omoda | Jaecoo Carnival menghimpunkan barisan kenderaan kami yang serba lengkap. Tambahan lagi, ia memaparkan prestasi dan inovasi di setiap peringkat serta direka dengan matlamat khusus untuk membawakan keupayaan luar biasa dan inovasi yang mempelopori segmen. Sempena karnival ini, jenama Omoda | Jaecoo mempamerkan dua model baru yang akan datang – J5, Bintang Handalan Kegunaan Harian Kami, dan juga C9 PHEV, Yang Dibina Dengan Kuasa Peneraju – kedua-dua model dijangka menambat hati pelanggan di Malaysia,” kata Naib Presiden Omoda | Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

“Lebih penting lagi, karnival ini ialah cara kami merakamkan penghargaan khas kepada para pelanggan kami atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka, sambil mengalu-alukan pelanggan baharu ke dalam dunia kemewahan yang termampu. Pada masa yang sama, kami teruja mendidik orang awam tentang manfaat teknologi Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) generasi akan datang,” tambahnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required