Satu lagi skuter elektrik daripada Yadea, iaitu RS20 kini memasuki pasaran Malaysia dengan dijual pada harga RM4,998 tidak termasuk cukai jalan dan insurans. Tiga pilihan warna ditawarkan dan ia datang dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.
Menggerakkan RS20 ini adalah motor elektrik 2.45 kW, yang mendapat kuasa daripada bateri graphene 72 V 22 Ah, mampu memberikan jarak gerak maksimum 105 km, laju maksimum 51 km/j dan tork maksimum 107 Nm. Bateri ini boleh dicas 0-80% dalam masa enam jam.
Bentuk RS20 ini nampak seperti skuter biasa dengan rim 12 incinya dipegang oleh fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Brek hadapan menggunakan unit cakera tunggal, sementara di belakang terdapat brek dram.
Selain menggunakan kunci fizikal dan alat kawalan jauh, RS20 juga boleh dihidupkan menggunakan telefon pintar, setelah pengguna mengaktifkan fungsinya di dalam aplikasi. Paparan meter menggunakan unit digital yang boleh memaparkan tahap bateri, jarak gerak, kelajuan dan pelbagai lagi.
Kelengkapan lain yang disediakan pada RS20 adalah termasuk semua lampu jenis LED, soket pengecas USB-A, fungsi undur, dua mod tunggangan, ruang simpanan bawah tempat duduk dan bawah pemegang serta platform kaki luas.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.