BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia hari ini mengumumkan pembukaan kilang pemasangan tempatan (CKD) syarikat itu di Malaysia. Terletak di Tanjong Malim, Perak, kilang tersebut mempunyai keluasan 600,000 meter persegi, dengan pengeluaran kenderaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2026.
Perkembangan ini mencerminkan komitmen BYD serta rancangan jangka panjang syarikat itu untuk memperkukuhkan kedudukannya di pasaran Malaysia. Kilang berkenaan merupakan kilang ketiga yang dibina oleh BYD di rantau Asia Tenggara.
Walaupun Tanjong Malim sinonim dengan kilang pemasangan EV Proton, kilang BYD ini tidak berkait dengan projek AHTV oleh DRB-Hicom, dan akan dibina di atas tanah yang berbeza.
Pengurus Besar, BYD Asia Pacific Auto Sales Division, Liu Xueliang berkata: “Malaysia adalah pasaran penting bagi kami di Asia Tenggara, dan pengumuman ini serta pengenalan rasmi model BYD Seal terbaru menandakan lembaran baru bagi kami di sini. Komitmen ini tidak hanya tentang menawarkan barisan produk yang inovatif, tetapi yang lebih penting adalah untuk melabur dalam ekosistem EV di Malaysia — melibatkan pemasangan tempatan, pembangunan bakat tempatan serta mobiliti elektrik.”
Bagaimanapun, belum dinyatakan model mana yang pertama sekali akan dipasang di sini. Namun, perkembangan ini akan membuka lebih banya kemungkinan untuk BYD memasang lebih banyak kenderaannya di sini, termasuk model-model PHEV jenama itu. Dan, lebih penting, mungkin akan ada juga pemasangan kenderaan BYD untuk pasaran eksport ke pasaran luar, dari Malaysia.
Ketika ini, BYD menjual enam model keluarannya di Malaysia, dan semuanya adalah EV dan diimport dari China — didorong juga oleh tempoh pengecualian duti import dan duti eksais yang akan berakhir hujung tahun ini pada 31 Disember 2025.
Selepas tempoh itu, nampaknya BYD akan mengorak langkah baru yang selari dengan hasrat kerajaan, supaya pengeluar EV yang terlibat memulakan pemasangan tempatan, yang juga akan menerima pengecualian duti eksais dan cukai jualan hingga 31 Disember 2027.
Dalam majlis yang sama, BYD turut memperkenalkan secara rasmi model BYD Seal 2025 terbaru, dan juga pembukaan bilik pameran 3S terbesar BYD di Malaysia di Balakong, yang dikendalikan oleh Wing Hin Auto.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.