Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto Connexion) hari ini memperkenalkan secara rasmi Ford Ranger Wildtrak 3.0L V6 Turbo Diesel serba baru untuk pasaran Malaysia. Model Ranger Wildtrak yang paling lengkap ini dijual dengan harga RM192,888 di Semenanjung, sementara RM198,688 untuk Sabah/Sarawak. Ini merupakan harga atas jalan belum termasuk insurans.
Aspek luaran trak pikap gaya hidup ini dihiasi antaranya oleh lampu depan LED matriks dengan DRL unik C-Clamp yang hanya ada khusus untuk model Wildtrak 3.0L turbo diesel dan Platinum setakat ini. Untuk rim, ia menggunakan saiz 20-inci dengan profil tayar 255/55 R20, dan dilengkapi juga dengan sebuah tayar ganti saiz penuh. Ruang barangan belakangnya turut disediakan dengan soket 12V. Selain itu, pintu ruang barangan di belakang juga datang dengan ciri murah diangkat, serta rekaan bed liner baru.
Model ini dilengkapi enjin 3.0L V6 turbo tunggal diesel yang menjana sebanyak 250 PS pada 3,250 rpm dan 600 Nm tork pada 1,750 rpm — output yang disifatkan tertinggi dalam segmennya ketika ini. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik E-Shifter 10-kelajuan (yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Raptor dan Ranger Stormtrak dan Platinum).
Enam mod pemanduan turut disediakan, terdiri daripada Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand. Sebagai trak pikap lasak, ia lengkap dengan pacuan empat roda — 2H, 4H, 4L dan 4A (yang sebelum ini hanya ada untuk model prestasi Ranger Raptor).
Di dalam, antara kelengkapan yang disediakan ialah skrin sentuh infotainmen bersaiz 12-inci dengan fungsi arahan suara SYNC 4A dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Skrin multi-info TFT 8-inci pula mudahkan pemandu untuk melihat maklumat kenderaan dan pemanduan. Juga ada lima slot USB untuk kemudahan penumpang.
Bagi aspek keselamatan, Ford Ranger Wildtrak 3.0L V6 Turbo Diesel 2025 turut dilengkapi dengan bantuan pemanduan canggih seperti pengesanan titik buta (BLIS), amaran menukar lorong dan mengekalkan lorong laluan, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go (ACC), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), AEB, kamera 360-darjah, lampu tinggi automatik dan lain-lain.
Ada empat warna badan ditawarkan untuk Ford Ranger Wildtrak 3.0L V6 Turbo Diesel 2025 ini, iaitu: Arctic White, Absolute Black, Luxe Yellow dan Meteor Grey.
Turut ditawarkan bagi tempoh terhad ialah bagi pembeli terawal model ini ialah pakej servis lanjutan dua-tahun serta sebuah cooler bag edisi terhad ketika menerima serahan kenderaan. Bagi pelanggan yang membuat tempahan melalui dalam talian pula, mereka akan menerima sebuah kerusi khemah eksklusif Ford.
Ford Ranger Wildtrak 3.0L V6 Turbo Diesel 2025
Risalah rasmi Ford Ranger Wildtrak 3.0L V6 Turbo Diesel
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.