Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni sehingga jam 1 pagi pada 23 dan 24 Ogos 2025.
Lanjutan operasi ini dilaksanakan sempena program Malam Himpunan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 22 hingga 24 Ogos. Malam kemuncak acara ini iaitu pada 24 Ogos akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walau bagaimana pun, Rapid Rail berkata, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen untuk meneruskan perjalanan pulang mereka.
Selain itu, Rapid Rail turut menggalakkan para penumpang untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen. Bagi yang menggunakan token, disarankan agar membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen.
“Kakitangan tambahan juga akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar. Penumpang yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen.
“Penumpang juga disarankan untuk mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.