Lambakan pemasangan papan iklan elektronik di kebanyakan jalan utama di seluruh negara mendatangkan kegusaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang berpendapat ia mampu mengganggu tumpuan pemandu serta menjejaskan keselamatan jalan raya.
Justeru, CAP menerusi pengerusinya, Mohideen Abdul Kader, menggesa agar menggesa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji dan mengawal selia peningkatan pesat papan iklan elektronik tersebut, laporan Harian Metro.
Katanya, paparan papan iklan digital yang sangat mudah dilihat dan berubah dengan pantas mendedahkan risiko serius terhadap tumpuan pemandu sekaligus mampu menjejaskan keselamatan. Menurut tinjauan CAP di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur baru-baru ini menunjukkan bahawa papan iklan digital di tepi jalan raya menarik perhatian bukan bagi nilai komersial utama tetapi potensinya yang membahayakan pemandu.
“Bukti saintifiknya adalah jelas. Penyelidikan menunjukkan bahawa papan iklan digital dengan tahap kecerahan melebihi 300cd/m² (nits) pada waktu malam boleh menyebabkan gangguan penglihatan sementara (disability glare) pemandu yang mengurangi keupayaan mereka bagi mengesan bahaya di jalan raya.
“Kajian oleh Pentadbiran Lebuhraya Persekutuan Amerika Syarikat (USFHA) dan pakar keselamatan lalu lintas antarabangsa juga beri amaran bahawa pencahayaan yang berlebihan boleh mengurangi sensitiviti kontras dan melambatkan masa tindak balas oleh pemandu,” katanya.
Tambah beliau, bagi keselamatan optimum, pakar mengesyorkan had yang jauh lebih rendah iaitu sekitar 100–150 cd/m² pada waktu malam, jauh di bawah paras semasa yang digunakan banyak pengendali papan iklan. Selain itu, bahaya itu diperkuatkan lagi dengan pertukaran imej yang pantas, lampu pemancar dan teks bergerak, mewujudkan gangguan kognitif.
“Pemandu mengalih perhatian mereka seketika kepada papan iklan dan bukannya keadaan jalan raya malah selang beberapa saat sahaja dalam perhatian boleh membawa maut terutama ketika kesibukan lebuh raya sebelum terowong, di kawasan pusingan U atau berhampiran persimpangan yang kompleks.
“Kebimbangan ini bukan perkara baharu yang mana pada 19 Mac tahun lalu, media melaporkan bahawa papan iklan digital di Damansara Utama terlalu terang dan dekat dengan jalan raya sehingga mengganggu tumpuan pemandu terutama di lokasi kritikal yang memerlukan tumpuan maksimum,” katanya lagi.
Sehubungan itu, katanya, CAP mengesyorkan supaya peraturan lebih ketat mengenai penempatan, saiz dan kecerahan papan iklan digital dikenakan terutama berhampiran persimpangan, terowong, lintasan pejalan kaki dan kawasan yang terdedah kepada kemalangan.
CAP juga mencadangkan agar tahap kecerahan pada waktu malam perlu dihad pada atau di bawah 300 cd/m², dengan pertimbangan bagi penanda aras antarabangsa yang lebih selamat iaitu 100–150 cd/m².
“Imej bergerak, memancar atau bertukar dengan pantas perlu dilarang bagi mengurangi gangguan manakala pemantauan dan penguatkuasaan yang kerap perlu dijalankan dalam memastikan pengendali papan iklan mematuhi piawaian keselamatan. CAP gesa pihak berkuasa bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk dan banyak kemalangan berlaku kerana keselamatan jalan raya tidak boleh dikompromi bagi keuntungan pengiklanan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.