Teaser untuk Fronx sudah dikeluarkan oleh Suzuki Malaysia melalui laman media sosial mereka, tapi bila pelancaran rasminya? Melalui maklumat yang kami terima, ia akan berlaku pada suku keempat tahun ini (berkemungkinan seawal Oktober).
Semasa liputan acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini, kami telah menunjukkan pasaran Indonesia menerima Fronx dalam tiga varian iaitu GL, GX dan SGX, dengan harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (sekitar RM67,000 hingga RM84,000), dan ia dipasang di dalam negara itu sendiri (CKD).
Sementara itu, sumber kami pula menjangkakan Malaysia hanya akan menerima varian paling tinggi, dengan harga yang melebihi RM100k kerana import dari luar negara. Melihat kepada pasaran negara jiran itu, Fronx SGX (paling tinggi) menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris K15C 1.5 liter NA yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm, bersama sistem hibrid yang terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG).
Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan dan perincian lain adalah termasuk tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.
Sebagai varian paling tinggi, Fronx SGX datang dengan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2 inci, skrin infotainmen sembilan inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.
Ia juga hadir dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu, pilihan warna luaran dua tona, lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.
Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) disediakan secara eksklusif untuk SGX. Ini termasuk Adaptive Cruise Control, kamera 360 darjah, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran pemanduan tidak stabil, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, head-up display dan sistem brek kecemasan Suzuki (Dual Sensor Brake Support II).
Sementara itu, satu lagi model baru iaitu SUV elektrik e-Vitara juga diberitahu dalam perancangan untuk kemasukan ke Malaysia, tapi hanya akan berlaku tahun hadapan. Model ini juga ada dipamerkan di GIIAS, dan diberitahu akan ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti bateri iaitu 49 kWh dan 61 kWh.
Versi dengan bateri 49 kWh dipadankan dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa sebanyak 144 PS (bersamaan 142 hp atau 106 kW) serta tork 189 Nm. Sementara itu, varian 61 kWh pula hadir dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, menjana 174 PS (172 hp atau 128 kW) dengan tork yang sama.
Bagi mereka yang inginkan lebih kuasa dan cengkaman, bateri berkapasiti lebih besar ini juga ditawarkan dalam konfigurasi pacuan semua roda menerusi sistem ALLGRIP-e. Ia menerima tambahan motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 65 PS (64 hp atau 48 kW), menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sistem kepada 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork mencecah 300 Nm. Suzuki mendakwa bahawa varian 61 kWh mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 500 km bagi satu cas penuh, namun angka rasmi masih belum diumumkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.