Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

Selepas beberapa kali dipertontonkan kepada umum, hari ini akhirnya Zeekr 7X dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia ditawarkan dalam tiga varian, bermula varian paling asas RWD Standard Range dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM179,800, varian pertengahan RWD Long Range berharga RM190,800 dan yang paling lengkap, AWD Performance berharga RM226,800.

Zeekr 7X merupakan SUV EV yang akan berentap terus dengan Tesla Model Y yang dijual dengan harga bermula RM195,450 hingga RM242,450 dan juga BYD Sealion 7 yang dijual bermula RM187,710 hingga RM203,710. Ia dihasilkan dengan ukuran panjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dan jarak roda sejauh 2,925 mm, dengan platform yang beroperasi menggunakan asas elektrikal 800-volt.

Bagi kedua-dua varian RWD, 7X diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 421 PS (310 kW) dan tork maksima 440 Nm bagi memacu roda belakang, membolehkan kedua-duanya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6 saat. Apa yang berbeza ialah bateri, di mana varian Standard diberikan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 75 kWj untuk jarak gerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Long Range pula menerima bateri nikel kobalt mangan (NMC) dengan kapasiti 100 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 615 km WLTP.

Manakala bagi varian AWD Performance, ia diberikan satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, memberikan kebolehan pacuan semua roda dan kuasa keseluruhan 646 PS (475 kW) dan tork maksima 710 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Varian ini masih menggunakan bateri NMC 100 kWj yang memberikan jarak gerak 543 km WLTP.

Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

Untuk mengecas pula, Zeekr 7X RWD Standard Range dengan bateri LFP boleh menerima pengecas pantas DC 450 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10%-80% dalam masa 10.5 minit, manakala dengan pengecas AC 22 kW kuasa boleh dipenuhkan dari 10%-100% dalam masa 4.5 jam.

Manakala bagi varian RWD Long Range dan AWD Performance yang diberikan bateri NMC, ia boleh menerima pengecas pantas DC 420 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 16 minit, dan juga pengecas AC 22 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 100% dalam masa 5.5 jam. Ketiga-tiga varian turut menerima sistem Vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan bateri pada EV ini mengoperasikan perlatan elektrik lain dengan output 3.3 kW.

Casis SUV ini menampilkan konfigurasi suspensi jenis double wishbone di hadapan dan juga multilink di belakang. Ia juga datang standard dengan set bushing hidraulik yang dioptimakan untuk pemandu merasai keadaan jalan raya. Namun hanya varian AWD Performance yang diberikan suspensi adaptif Continous Control Damping System (CCDS) menerusi sistem suspensi udara dengan kebuk tunggal.

Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

Perincian standard yang diberikan pada SUV ini untuk semua varian termasuk pintu belakang larasan kuasa dan bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa. Kesemua lampu luaran termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang diberikan dengan teknologi LED.

Kedua-dua varian pacuan roda belakang diberikan set rim aloi 19-inci, manakala varian pacuan semua roda pula diberikan set rim aloi 20-inci bersama tayar Michelin Pilot EV serta angkup brek Akebono di hadapan dengan kemasan oren. Zeekr Malaysia turut menawarkan pilihan rim aloi 21-inci ditawarkan dengan harga RM14.8k.

Selain itu varian AWD Performance juga datang dengan Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain yang menampilkan 1,831 LED di panel depan di bawah lampu utama, membolehkan pemilik membuat pelbagai corak grafik pada lampu tersebut, termasuk memaparkan tulisan. Walau bagaimana pun fungsi tulisan tersebut masih belum boleh digunakan di Malaysia kerana tidak mendapat pelepasan dari pihak berkuasa, namun mungkin dapat digunakan pada masa depan dengan kemaskini secara OTA.

Manakala dalam kabin semua varian diberikan lampu suasana dinamik RGB, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kerusi belakang larasan kuasa dengan larasan 10-darjah untuk penyandar, kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sentuh infotainmen 16-inci dengan paparan 3.5K mini-LED dikuasakan cip Qualcomm 8295 dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, serta mempunyai 36 ruang storan di dalam kabin, termasuk dua di bawah kerusi belakang.

Bagi varian Standard ia diberikan roda stereng balutan kulit larasan manual, upholsteri kulit pada tempat duduk dan sistem bunyi dengan 10-pembesar suara. Manakala varian RWD Long Range ia menerima perincian lebih baik termasuk roda stereng dengan larasan kuasa, tempat duduk hadapan dengan liang udara dan fungsi urut, paparan head-up AR dengan pancaran 36.21-inci, sistem bunyi Zeekr Sound 21-pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar 50-watt.

Varian AWD Performance pula menerima tambahan upholsteri tempat duduk kulit Nappa serta pelindung matahari larasan kuasa untuk tingkap sisi di belakang.

Ketiga-tiga varian Zeekr 7X ini menerima kelengkapan keselamatan yang sama iaitu tujuh beg udara, cruise control adaptif dengan kawalan ke tengah lorong, bantuan kekal lorong, penukaran lorong automatik, brek kecemasan automatik dengan amaran serta penghindaran perlanggaran depan, brek parkir kecemasan, amaran bukaan pintu, pemantau titik buta, sokongan pengelak pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik di depan dan belakang, pemantau pemandu, bantuan parkir automatik dan kamera 360-darjah.

Pembeli ditawarkan dengan lima pilihan warna badan – warna Crystal White, Onyx Black, Tech Grey dan Forest Green disediakan untuk semua varian, namun warna Brooke Blue yang dipadankan dengan bumbung warna perak hanya khusus untuk varian AWD Performance, dan ia memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM3,000. Walau bagaimanapun warna Crystal White ditetapkan sebagai warna badan standard, manakala untuk pilihan warna lain akan dikenakan bayaran tambahan.

Manakala untuk kabin, ia datang standard dengan tema warna hitam, namun bagi varian paling tinggi pembeli diberikan opsyen kombinasi putih dan ungu tetapi dengan tambahan kos. Khas sempena pelancaran model ini di Malaysia, Zeekr 7X turut diberikan pengecas wallbox 22 kW dan juga filem penapis haba secara percuma. Juga, 500 pelanggan pertama turut akan menerima aksesori berupa peti sejuk untuk SUV ini yang ditawarkan secara percuma.

Setiap pembelian Zeekt 7X ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, manakala untuk bateri bervoltan tinggi ia diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Ia juga diberikan servis terhubung untuk akses kepada Zeekr App, sistem navigasi onboard dan juga kemaskini perisian menerusi over-the-air (OTA) secara percuma selama setahun – bayaran selepas tahun pertama masih belum diumumkan.

Ketika majlis pelancaran hari ini, Zeekr Malaysia mengumumkan bahawa sebanyak 1,000 unit model ini telahpun ditempah. Jadi untuk mereka yang baru menempah, masa menunggu dianggar akan mencecah selama tiga hingga empat bulan. Penghantaran pertama untuk Zeekr 7X ini akan bermula pertengahan September nanti.

GALERI: Zeekr 7X AWD Performance

GALERI: Zeekr 7X RWD Long Range

GALERI: Zeekr 7X RWD Standard

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required