Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperoleh lebih RM101.9 juta melalui inisiatif Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang diperkenalkan sejak Januari lalu.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi ) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, kompaun itu membabitkan tiga kategori saman iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis 114 dan 115, laporan Bernama.
“Bagi saman AwAS merekodkan kutipan lebih RM95.3 juta membabitkan 635,294 notis, manakala bagi Notis 114 adalah sebanyak 35,183 notis membabitkan kutipan RM5.2 juta dan Notis 115 pula berjumlah 8,266 notis membabitkan lebih RM 1.23 juta,” katanya.
Pada awal Julai lalu, JPJ mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir 30 Jun, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.
Seperti sebelum ini, kadar kompaun khas ini adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.
“Orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang lanjutan tawaran ini dengan menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh tawaran berakhir pada 31 Disember 2025.
“Kegagalan menyelesaikan mana-mana saman yang boleh dikompaun sama ada yang tertunggak atau telah melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam oleh JPJ secara automatik oleh sistem bermula 1 Julai 2025,” kata Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli.
Pembayaran kompaun ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, urusan pembayaran kompaun ini tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.