Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan semua perkhidmatan tren LRT dan MRT, BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas Rapid KL, serta van Rapid KL On-Demand (ROD) untuk zon terpilih akan beroperasi tanpa henti selama 24 jam mulai 6 pagi pada 30 Ogos hingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2025. Ia adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan orang ramai terutamanya yang ingin meraikan sambutan Hari Merdeka ke-68.
“Bagi perkhidmatan bas tambahan pula, sebanyak 86 laluan melibatkan 235 buah bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka (30 Ogos). Manakala pada Hari Merdeka (31 Ogos) jumlahnya akan ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 buah bas bagi menampung keperluan orang ramai.
“Sementara itu, bagi perkhidmatan ROD, sebanyak 20 buah van akan disediakan merangkumi lima zon dari Stesen Putrajaya Sentral dan satu (1) zon di Daerah Pusat Perniagaan. Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi MyRapid PULSE dengan kadar bayaran hanya RM1,” kata syarikat berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, “Pengalaman menjalankan operasi 24 jam pada tahun lalu menjadi rujukan penting untuk kami menambah baik persiapan kali ini. Dengan menempatkan lebih 5,000 kakitangan barisan hadapan, kami yakin perkhidmatan tahun ini akan lebih lancar dan selamat.
“Harapan kami agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan kemudahan ini, hadir beramai-ramai, dan bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana yang penuh muhibah,” katanya.
Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan bahawa Rapid KL akan menyediakan 96 bas perantara percuma melibatkan tiga laluan untuk ke Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini. Laluan terbabit melibatkan Taman Botani-Putra Square dan Lobi utama Putrajaya International Convention Centre (PICC)-Jalan Tun Hussien Presint 3 yang kedua-duanya beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos, dengan kekerapan ketibaan setiap 10 minit.
Manakala zon ketiga pula melibatkan laluan MRT Putrajaya Sentral-Jalan Tun Abdul Razak Presint 2 dari jam 12 tengahari pada 30 Ogos sehingga 2 petang pada 31 Ogos. Dengan kekerapan ketibaan setiap 10-15 minit mulai 12 tengahari hingga 9 malam pada 30 Ogos, setiap 10 minit mulai 9 malam pada 30 Ogos hingga 4 pagi pada 31 Ogos dan setiap lima minit mulai 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.
Senarai penuh laluan bas dan zon ROD boleh dirujuk di laman web www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.