Mitsubishi mendedahkan Delica Mini generasi kedua bersama eK Space generasi ketiga di Jepun. Kedua-dua model kategori kei car ini sudah dibuka untuk tempahan awal. Bagi Delica Mini, harga anggaran bermula dari 1.95 juta yen hingga 2.95 juta yen (sekitar RM56,000 hingga RM84,000), manakala eK Space dijangka dijual antara 1.75 juta hingga 1.95 juta yen (lebih kurang RM50,000 hingga RM56,000).
Meskipun Delica Mini ini kelihatan mirip model terdahulu yang menggantikan eK X Space sejak pelancarannya pada Mei 2023, ia tampil dengan beberapa perubahan menarik. Bahagian hadapan kini dilengkapi lampu utama lebih besar bersama lampu nyalaan siang LED separa bulat, gril diberi sentuhan baru dengan rekaan lebih lasak, bampar depan menampilkan elemen Dynamic Shield manakala pelindung bawah (skid plate) dibuat lebih menonjol.
Rekaan bonet, fender dan pintu turut dipertingkat dengan garisan lebih jelas, manakala A-pillar kini lebih tegak dan ditolak ke depan sejauh 115 mm untuk ruang kabin yang lebih luas. Bahagian belakang pula menampilkan tiang D yang kini lebih kukuh dan tidak lagi menggunakan rekaan melengkung. Ia dipadankan dengan lampu belakang LED baru, pelindung bawah lebih besar dan kemasan badan pada pintu but belakang.
Dimensi keseluruhan masih mengekalkan saiz kei car mengikut peraturan Jepun; panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak roda 2,495 mm. Kabin Delica Mini menerima pembaharuan dengan papan pemuka yang menempatkan dua paparan digital – kluster instrumen digital tujuh inci dan skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci.
Corong udara kini direka semula dengan sirip mendatar yang menyambungkan kedua-dua sisi secara visual manakala kedudukan butang kawalan penyaman udara diubah bagi memberi ruang kepada tombol kawalan mod pemanduan, yang menawarkan pilihan Power, Normal, Eco, Gravel dan Snow.
Turut diperkenalkan bersama Delica Mini adalah model eK Space. Ia berkongsi platform, bahagian dalaman dan kebanyakan panel badan dengan Delica, tetapi tampil dengan wajah berbeza serta gaya lebih sederhana.
eK Space mempunyai ketinggian lebih rendah dan tidak dilengkapi pelindung bawah atau kemasan plastik luar, menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan bandar.
Setakat ini, Mitsubishi belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk model baru ini, namun Delica Mini sebelum ini ditawarkan dengan enjin petrol tiga silinder turbo BR06 berkapasiti 659 cc, menghasilkan 64 PS dan 100 Nm tork.
Terdapat juga versi tanpa turbo yang menjana 52 PS dan 60 Nm. Kedua-dua varian menggunakan transmisi CVT dan ditawarkan dengan pilihan pacuan dua roda (FWD) atau semua roda (AWD).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.