Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

Nio secara rasmi membuka tempahan untuk model SUV elektrik tiga baris tempat duduk mereka, ES8 generasi ketiga, di pasaran China. Model ini ditawarkan pada harga bermula 416,800 yuan, bersamaan kira-kira RM244,000 untuk versi enam dan tujuh tempat duduk. Selain itu, terdapat juga varian Signature Edition dengan konfigurasi enam tempat duduk yang dijual pada harga lebih tinggi, iaitu 456,800 yuan atau sekitar RM268,000.

Menariknya, pembeli di China turut ditawarkan pilihan untuk memiliki ES8 melalui program penyewaan bateri. Dengan kaedah ini, harga pembelian dapat dikurangkan sebanyak 108,000 yuan atau kira-kira RM63,000. Namun begitu, pelanggan perlu membayar yuran bulanan untuk menyewa bateri tersebut dan buat masa ini, Nio masih belum mendedahkan kadar yuran yang dikenakan.

Dari sudut kejuruteraan, ES8 dibina berasaskan seni bina elektrik 900 volt dan dilengkapi satu pilihan penggerak sahaja ketika ini. Ia hadir dengan bateri berkapasiti 102 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 635 km mengikut piawaian CLTC. Bateri ini juga menyokong kadar pengecasan pantas 5C sehingga 600 kW, membolehkan tambahan jarak sejauh 250 km hanya dengan pengecasan selama lima minit.

Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

Sistem pacuannya terdiri daripada dua motor elektrik – satu di gandar hadapan dan satu di gandar belakang – sekaligus memberikan pemanduan semua roda (AWD) secara standard. Motor di bahagian hadapan menjana 245 PS dan 300 Nm, manakala motor belakang lebih berkuasa dengan 462 PS dan 400 Nm. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 707 PS dan 700 Nm, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.97 saat.

Sebagai sebuah SUV premium yang turut ditawarkan dengan ciri separa off-road, ES8 mempunyai kelegaan tanah 165 mm serta mampu meredah air setinggi 650 mm. Ia turut dilengkapi sistem suspensi udara dengan pelarasan sehingga 50 mm bagi memudahkan penumpang keluar masuk dan memudahkan proses memuatkan barang.

Ruang kargo utama memiliki kapasiti 547 liter dan boleh diperluaskan sehingga 3,230 liter apabila kerusi baris belakang dilipat rata. Sebagai tambahan, terdapat juga ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 230 liter untuk menambah praktikaliti.

Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

Berbanding model sebelumnya, Nio ES8 generasi baru ini hadir dengan dimensi lebih besar. Ia kini berukuran 5,280 mm panjang, 2,010 mm lebar dan 1,800 mm tinggi, sementara jarak antara roda ditingkatkan kepada 3,130 mm, menjadikannya lebih lapang dan selesa untuk kegunaan keluarga besar.

Rekaan luaran model ini mengikut falsafah rekaan terkini Nio yang dikenali sebagai “Design for Success“. Ia menampilkan lampu nyalaan siang LED yang nipis di bahagian atas, dipadankan bersama lampu utama berteknologi LED matriks. Antara elemen lain yang menyerlah termasuk rim bersaiz 21 inci, pemegang pintu jenis pop-out, sensor LiDAR yang dipasang di bumbung serta lampu belakang yang menggunakan sehingga 600 unit LED.

Bahagian dalam kabin merupakan antara tarikan utama ES8. Pembeli boleh memilih antara susun atur tempat duduk enam tempat duduk dalam konfigurasi 2-2-2 atau tujuh tempat duduk dalam format 2-3-2. Bagi model enam tempat duduk, kerusi baris kedua boleh direbahkan sehingga 151 darjah dan dilengkapi dengan perehat kaki berhaba, memberikan pengalaman umpama ruang bilik tidur apabila kerusi baris hadapan turut dilipat sepenuhnya.

Dari segi teknologi, SUV ini dilengkapi paparan Skyline berukuran 48 inci yang merentangi papan pemuka, berfungsi sebagai panel instrumen digital serta paparan untuk penumpang hadapan. Ia turut hadir dengan skrin sesentuh infotainmen AMOLED 16.4 inci dan paparan kepala 38 inci yang menyokong teknologi realiti tambahan (AR).

Antara ciri premium lain yang ditawarkan termasuk pad pengecas tanpa wayar berkembar, penyaman udara lima zon, meja lipat di belakang tempat duduk hadapan, peti sejuk mini, sistem bunyi dengan 27 pembesar suara yang menjana kuasa sebanyak 2,600 watt serta sokongan Dolby Atmos. Untuk penumpang belakang, terdapat paparan siling berukuran 21.4 inci dengan resolusi 3K.

Sistem penderia LiDAR pada ES8 berfungsi sebagai komponen utama dalam sistem bantuan pemandu Nio yang dikenali sebagai Nio World Model (NWM) dan ia dioperasikan melalui cip Shenji NX9031. Sistem ini membolehkan pelbagai fungsi pemanduan pintar termasuk bantuan parkir automatik dan pemanduan dari titik ke titik secara separa autonomous. Menariknya, cermin sisi luaran turut dilengkapi lampu penunjuk berwarna biru untuk memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain bahawa kenderaan sedang beroperasi dalam mod pemanduan sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required