Meskipun Malaysia tidak menerima model generasi ke-11 bagi Honda Accord, tetapi di Thailand, sedan segmen D serba baru ini telah dilancarkan sejak Oktober 2023. Selepas hampir dua tahun dalam pasaran, model itu diberi kemas kini teknologi terbaru sambil masih kekal sebagai model hibrid sepenuhnya.
Harga permulaan bagi Honda Accord 2025 di Thailand bermula pada 1.479 juta baht (RM192,000) untuk varian asas e:HEV E. Varian pertengahan e:HEV EL pula ditawarkan pada harga 1.599 juta baht (RM207,000), manakala varian tertinggi e:HEV RS dijual pada 1.729 juta baht (RM224,000). Menurut laporan daripada Headlightmag, semua varian ini lebih murah sebanyak 70,000 baht (sekitar RM9,000) berbanding harga sebelumnya.
Menampilkan sistem janaan kuasa hibrid sepenuhnya, Accord baru ini dilengkapi enjin petrol 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dan boleh menerima bahan api E20. Enjin ini menghasilkan 147 PS pada 6,100 rpm dan tork 182 Nm pada 4,500 rpm. Peranan utamanya adalah untuk menjana kuasa bersama satu motor elektrik kepada bateri lithium-ion yang kemudiannya membekalkan tenaga kepada satu lagi motor elektrik yang menggerakkan roda hadapan dengan kuasa 184 PS dan 335 Nm tork.
Pada kelajuan tinggi, enjin boleh digabungkan terus dengan sistem transmisi E-CVT untuk memacu roda hadapan secara langsung. Gabungan keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan kuasa sebanyak 207 PS – angka ini masih sama seperti model sebelumnya. Enam mod pemanduan turut dikekalkan, iaitu Econ, Normal, Sport, Individual, EV dan Charge.
Salah satu perubahan utama bagi Accord generasi ini ialah penggantian sistem LaneWatch dengan teknologi pemantauan titik buta (Blind Spot Information, BSI). Berbanding paparan kamera di cermin sisi seperti sebelum ini, sistem BSI yang lebih konvensional menggunakan indikator di cermin sisi bagi memaklumkan kehadiran kenderaan di kawasan yang tidak dapat dilihat pemandu. Satu lagi ciri baru ialah Cross Traffic Monitor, yang berfungsi sebagai amaran lintasan trafik dari belakang dan kedua-dua sistem ini diberikan secara standard bagi semua varian.
Selain ciri keselamatan baru, perubahan lain yang diperkenalkan adalah dari segi kosmetik. Bahagian bawah badan dan sisi bingkai gril kini sama warna dengan badan, manakala lampu utama menerima kemasan asas hitam dengan lensa jernih. Varian e:HEV RS turut menampilkan bingkai kemasukan udara berwarna hitam di bampar hadapan, manakala e:HEV E kini menggunakan rim 17 inci berwarna hitam menggantikan warna perak.
Bagi kelengkapan standard, varian e:HEV E dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan pemula enjin jauh, tempat duduk hadapan larasan kuasa, kawalan suhu dua zon, tempat duduk balutan kulit, bidai tingkap belakang, pad pengecas tanpa wayar, sistem audio Bose 12 pembesar suara, kluster instrumen digital 10.2 inci, skrin sesentuh 12.3 inci dengan sistem infotainmen Google serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Turut disertakan ialah lapan beg udara, sistem telematik Honda Connect serta pakej keselamatan Honda Sensing merangkumi amaran dan bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik dan kawalan kelajuan adaptif.
Varian e:HEV EL pula menerima tambahan rim 18 inci, lampu suasana tujuh warna, sistem penulen udara Plasmacluster, sensor parkir hadapan dan belakang, suis ‘boss’ untuk melaras tempat duduk penumpang hadapan, sistem kamera 360 darjah dan head-up display bersaiz 11.5 inci.
Manakala untuk varian e:HEV RS, ia menerima lampu utama dengan teknologi adaptive driving beam, lampu membelok, bumbung kaca panoramik, lampu isyarat membelok sequential, lampu pemegang pintu, kad kunci pintar, spoiler belakang, lencana RS, cermin sisi hitam berkilat dan sistem pembatalan bunyi bising dalam kabin.
Empat pilihan warna ditawarkan kepada pembeli iaitu Lunar Silver Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl. Warna Platinum White dan Crystal Black dikenakan bayaran tambahan masing-masing 14,000 baht (RM1,800) dan 10,000 baht (RM1,300).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.