Selain melancarkan siri perlumbaan Skildrvn Swift Pro-cup 2026, Kegani Racing Academy (KRA) turut mengumumkan bahawa ia telah melancarkan KRA Japan yang bakal menganjurkan program latihan perlumbaan ketika cuti musim panas di Jepun. Program ini akan dijalankan dengan kerjasama Fujii Engineering, iaitu firma yang menghasilkan kereta lumba dan komponen perlumbaan, serta penyedia solusi rekaan dan pembangunan mobiliti elektrik, kenderaan generasi seterusnya dan juga sistem mobiliti terbang.
KRA Japan menggunakan kaedah yang sama digunakan di Malaysia, iaitu mewujudkan ekosistem baharu untuk perlumbaan peringkat akar umbi dan membina asas yang kuat dalam sukan permotoran. Program yang dijalan menampilkan sesi teori dalam bilik kelas, sesi praktikal menerusi simulator dan diikuti latihan fizikal di litar. KRA Japan juga menawarkan kursus jangka masa pendek seperti kelas latihan persediaan untuk menyertai Track Day.
Program Pembangunan Pemandu Skildrvn yang dibuat di Malaysia turut akan dibawa ke Jepun, di mana KRA telah mengenalpasti siri perlumbaan sedia ada di Jepun yang menawarkan persaingan yang adil dari segi prestasi kenderaan dan memerlukan kaedah pemanduan dan perlumbaan yang baik, sama seperti siri Skilldrvn One Make Race yang dianjurkan di Malaysia.
Program ini juga ada menawarkan bimbingan penuh untuk mereka yang baru bermula bagi memandu di litar, dilatih secara akademik dan fizikal bagi membolehkan mereka bertanding sebagai pelumba. Ini termasuk untuk terus memberikan bimbingan dan mentor sebagai pelumba baharu yang memulakan musim baharu perlumbaan.
Menurut Prinsipal dan Ketua jurulatih KRA Kenny Lee, penubuhan KRA Japan ini akan membolehkan kerjasama dua-hala yang disasarkan untuk menaikkan standard pelumba-pelumba Malaysia.
“Dengan KRA Japan, ia akan membantu menghubungkan bakat Malaysia ke Jepun. Ia adalah impian ramai pelumba untuk bersaing di litar bersejarah di seluruh Jepun. Jepun sangat dipandang tinggi sebagai negara sukan permotoran terkemuka di Asia dan daripada pengalaman peribadi saya sendiri bertanding dalam perlumbaan Super Endurance di Jepun antara 2017 – 2019, ia telah membantu mendedahkan saya kepada bukan sahaja budaya perlumbaan yang mantap, tetapi juga etika perlumbaan mereka.”
KRA Japan juga berharap agar operasi mereka yang kini berpusat di Mie (10 minit dari litar Suzuka) berkembang ke litar-litar lain di negara itu selepas ini. KRA juga optimistik untuk mewujudkan franchise-franchise di negara-negara Asia yang lain di mana ia kini sedang memperkuatkan akdeminya di Malaysia dengan program-program bagi melatih jurulatih.
Menurut pengarah Fujii Engineering, Mitsuru Fujii, ramai pelumba muda Jepun yang mempunyai potensi tinggi berakhir dengan sumber dana yang tidak mencukupi kerana memilih jalan yang tidak efektif.
“Saya percaya program KRA menawarkan pendekatan latihan yang lebih tersusun dan cekap. Ia membantu pemandu muda membina laluan kerjaya yang lebih jelas dan berkesan — membolehkan lebih ramai daripada mereka mencapai tahap kejayaan yang lebih tinggi dalam sukan ini.
“Pada tahun 2024, saya bertemu Kenny dari KRA. Saya sangat kagum dengan aktiviti dan konsep mereka, yang saya dapati sangat bermanfaat untuk pemandu yang baru bermula dalam sukan permotoran. Memandangkan gaya pembangunan pemandu ini belum wujud di Jepun, saya amat merasakan ia perlu diperkenalkan di sini – dan itulah yang mendorong saya untuk menubuhkan KRA di Jepun,” kata Fujii
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.