Selagi belum diumumkan secara perinci, selagi itulah Kementerian Kewangan (MoF) dibanjiri pelbagai pertanyaan berkenaan dengan pelaksanaan subsidi RON95. Terkini, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Kerajaan ia kini berada di peringkat akhir menilai kelayakan dan mekanisme penyaluran bagi subsidi bersasar RON95, dengan rancangan pelaksanaannya dijangka diumumkan pada akhir September.
Menurut Amir Hamzah lagi, matlamat utama adalah untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan subsidi bahan api terus menerima bantuan daripada kerajaan, laporan The Star. “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan.
“Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat,” katanya di Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung perkara itu, di mana Wee meminta MoF mendedahkan indikator dan kriteria yang digunakan kerajaan untuk menentukan individu atau isi rumah dalam kategori T15. Beliau juga meminta kementerian menjelaskan sama ada kriteria tersebut akan berdasarkan pendapatan kasar, pendapatan boleh guna, lokasi kediaman, jenis kenderaan atau sumber data lain.
Tambahnya, maklumat daripada pangkalan data sosio-ekonomi Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan sebagai rujukan untuk menentukan kelayakan. “PADU menyelaras data daripada pelbagai agensi kerajaan, termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Pendekatan ini bertujuan memastikan penyaluran subsidi dilaksanakan secara holistik dan tepat, berdasarkan data yang sah serta terkini, supaya bantuan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.
Mengenai mekanisme bagi menyalurkan subsidi, beliau mengulangi bahawa ia dijangka berasaskan penggunaan MyKad, di mana kad dimasukkan ke dalam terminal pembaca MyKad, dan kemudiannya disambungkan ke pangkalan data berpusat kerajaan untuk menentukan kelayakan dan kuota bahan api. “Jika layak, rakyat boleh membeli RON95 dengan harga subsidi RM1.99 sen seliter dan sekiranya tidak, pembayaran dibuat mengikut harga dipam tanpa subsid,” jelasnya.
Beliau berkata kaedah MyKad itu juga digunakan bagi penyaluran bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), di mana setiap penerima yang layak didaftarkan secara automatik dan menerima bantuan bagi keperluan asas, yang boleh digunakan untuk membeli barang keperluan diluluskan di kedai runcit terpilih seluruh negara menggunakan MyKad mereka.
Wee turut bertanya mengenai langkah yang diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan MyKad, serta bagaimana isu tidak perlu dapat dielakkan sekiranya berlaku masalah dengan penjaga pam. Amir Hamzah menjawab bahawa kementerian telah berbincang dengan syarikat minyak bagi memastikan kaedah itu ringkas dan proses pembelian bahan api akan dilaksanakan secara automatik.
“Apabila seseorang tiba di stesen minyak, mereka hanya perlu mengimbas MyKad pada mesin. Sistem akan mengesahkan kelayakan mereka untuk mendapatkan bahan api bersubsidi. Jika layak, mereka boleh membeli RON95 pada harga subsidi. Jika tidak layak, mereka masih boleh membeli RON95 tetapi pada harga penuh tanpa subsidi.
“Tidak akan ada sebarang campur tangan daripada penjaga pam dan keseluruhan proses adalah automatik. Jika seorang warga asing cuba membeli petrol, memandangkan mereka tidak mempunyai MyKad, mereka tidak akan dapat mengimbas kad tersebut. Mekanisme ini membantu membendung ketirisan subsidi. Dengan memanfaatkan MyKad dan teknologi, kita dapat mengurangkan ketirisan dengan berkesan,” tambahnya.
Beliau berkata kerajaan juga akan mewujudkan portal awam untuk menyemak kelayakan subsidi bersasar RON95, bersama pusat panggilan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan, memberi maklum balas atau membuat aduan melalui pelbagai saluran.
Amir Hamzah menambah bahawa aspek pengurusan kuota juga akan diteliti kerana ia penting. “Kita mesti menetapkan kuota untuk mengelakkan penyalahgunaan. Kementerian sedang meneliti cara mengagihkan kuota, memastikan rakyat biasa mendapat bekalan bahan api bersubsidi yang mencukupi, sambil menguruskan risiko penggunaan berlebihan atau penipuan,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pelan rasionalisasi itu akan melaksanakan kuota bulanan terhad berdasarkan jenis pengguna, dengan peruntukan lebih tinggi kepada pemandu e-hailing dan p-hailing.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.