Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam kini disahkan hanya dijangka mula beroperasi pada hujung tahun. Jangkaan baharu bagi pembukaannya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini, laporan New Straits Times.
Beliau berkata, pada asalnya, perkhidmatan LRT3 ini disasarkan memulakan operasinya pada 30 Setember, namun ia tertunda disebabkan masih terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan. “Namun begitu, kami komited untuk memastikan jajaran awal LRT3 dari Klang ke Petaling Jaya akan mula beroperasi sebelum hujung tahun. Projek ini telah dipantau dengan rapi dan kami yakin ia dapat dibuka kepada orang ramai seperti yang dirancang,” katanya.
Kenyataan ini dikeluarkan selepas laporan berita awal hari ini yang menyatakan bahawa pembukaan laluan rel tersebut telah ditangguhkan sehingga hujung tahun 2025.
Awal bulan ini, terdapat laporan menyatakan LRT3 Laluan Shah Alam mungkin tidak dapat memulakan operasinya pada 30 September seperti yang dirancang sebelum ini. Ini selepas Prasarana memaklumkan di Facebook pada akhir Julai lalu bahawa mereka kini sedang menjalankan aktiviti ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang jajaran dari stesen Bandar Utama hingga ke depoh di Johan Setia.
Sebelum itu, Loke mengumumkan projek LRT3 ini telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai. Beliau turut mendedahkan hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.
Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam ini sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.