Kementerian Pengangkutan mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk sentiasa memantau dan menyelenggara sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan beberapa gangguan yang berlaku sejurus selepas ia dilancarkan semula pada 1 Julai lalu – lapor Bernama.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sebarang gangguan teknikal memberi kesan langsung kepada pergerakan penumpang. Memandangkan perkhidmatan Aerotrain merupakan komponen penting di KLIA, sistem ini perlu beroperasi dengan tahap kebolehpercayaan yang tinggi bagi memastikan kelancaran perjalanan tanpa gangguan. Menurut beliau, sistem rel seperti ini kadangkala berdepan isu teknikal melibatkan komponen mekanikal, elektrikal serta perisian.
Justeru, MAHB telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan harian dan memastikan penyelenggaraan dilakukan secara menyeluruh. Sebuah pasukan khas juga telah ditugaskan bagi memastikan operasi berjalan lancar, terutamanya ketika waktu puncak.
Anthony Loke turut menegaskan bahawa MAHB perlu memastikan kontraktor projek bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang masalah memandangkan sistem ini masih dalam tempoh jaminan. Sejak dilancarkan semula pada 1 Julai, Aerotrain KLIA telah membawa hampir dua juta penumpang antara bangunan utama dan satelit Terminal 1, dengan ribuan pengguna bergantung kepada perkhidmatan ini setiap hari.
Pada 4 Julai, perkhidmatan Aerotrain terhenti selama sejam akibat hujan lebat yang menyebabkan air bertakung di dalam terowong. Kejadian ini berpunca daripada kegagalan salah satu pam saliran yang menghalang air disedut secara automatik.
Sistem Aerotrain KLIA kembali beroperasi bermula 1 Julai selepas menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi berjumlah RM742 juta oleh MAHB. Sebelum ini, sistem tersebut dihentikan sejak Mac 2023, dan sepanjang tempoh itu penumpang terpaksa menggunakan bas untuk bergerak antara bangunan utama dan satelit. Kini, tren baru Alstom Innovia APM 300R mengambil masa kurang tiga minit untuk melengkapkan perjalanan sejauh satu kilometer itu
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.