Mercedes-Benz Malaysia bersama dengan Power-Up (P.UP) oleh Nazamax Malaysia, telah memperkenalkan pelan MB Platinum 5, sebuah program langganan pengecasan mudah alih eksklusif untuk pemilik Mercedes-Benz EQ.
Perkhidmatan ini menyediakan pengecasan EV mudah alih mengikut permintaan pemilik, yang akan digerakkan ke lokasi pelanggan menggunakan sebuah van. Servis P.UP ini menyediakan pengecasan pantas sehingga 120 kW terus ke lokasi pengguna, membolehkan ia selesai dengan cepat dan mudah.
Pelan MB Platinum 5 menawarkan lima sesi pengecasan setiap bulan (sehingga 80% SoC), yang setiap satunya disertakan dengan cucian kereta, vakum dan pengilatan tayar, sepanjang tempoh langganan sama ada satu, enam atau 12 bulan. Pelan itu turut termasuk yuran servis dan parkir percuma hingga RM5 setiap sesi.
Pelanggan boleh menempah melalui aplikasi P.UP, dengan van akan dihantar terus ke lokasi EV mereka — sama ada di rumah, tempat kerja atau destinasi lain — untuk lebih kemudahan dan menjimatkan masa.
“Dalam usaha kita memperkukuh mobiliti elektrik di Malaysia, kami komited untuk memperkaya pengalaman pemilikan keseluruhan bagi semua pelanggan EV kami. Kerjasama dengan P.UP memperluas visi kami untuk menyediakan bukan hanya kenderaan berteknologi canggih, tetapi juga servis penyelesaian menyeluruh yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” jelas Timbalan Presiden Khidmat Pelanggan, Mercedes-Benz Malaysia & SEA II, Edmin Naidoo.
Perkhidmatan percubaannya telah dimulakan di Pulau Pinang pada September 2024, dan kini tersedia di Lembah Klang dengan tiga unit van. Ia akan dilancarkan juga di Johor Bahru pada suku pertama 2026, dan diperluas ke seluruh Semenanjung pada separuh kedua tahun depan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.