MSF Merdeka Race kembali lagi untuk edisi ke-8, dan untuk tahun 2025 ini Malaysia Speed Festival (MSF) sekali lagi mendapat sokongan dari jenama petrol nasional, Petronas Primax. Bagi acara tahun ini, cabaran bagi perlumbaan utama bertambah mencabar di mana ia menampilkan perlumbaan sebanyak 111-lap berbanding 99 lap tahun lalu dan 88 lap pada 2024!
Dengan menggunakan keseluruhan Litar Antarabangsa Petronas Sepang sepanjang 5.534 km, ini bermakna pertarungan dalam perlumbaan utama MSF Super Turismo Merdeka 111 Endurance tersebut dijangka akan berlangsung selama lima-jam tanpa henti.
Enam kelas akan dipertandingkan dalam MSF Super Turismo Merdeka 2025 ini, di mana pemenang keseluruhan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000; tempat kedua keseluruhan RM3,000, dan tempat ketiga keseluruhan RM2,000. Manakala untuk setiap kelas, pemenang tempat pertama menerima RM3,500, diikuti RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.
Untuk peminat motosikal, perlumbaan MotoMSF Superbikes pula akan menampilkan pertarungan endurance sebanyak 33-lap, berbanding hanya 12-lap pada tahun lalu. Perlumbaan yang dijangka akan berlangsung selama 90 minit ini akan menyaksikan setiap pasukan akan menampilkan dua motosikal dan dua orang penunggang yang perlu membuat pitstop mandatori, menjadikan ia satu perlumbaan yang mengikut format endurance sebenar.
Pemenang keseluruhan MotoMSF Superbikes akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000; tempat kedua menerima wang tunai RM5,000, ketiga RM3,000, keempat RM2,000, kelima RM1,5000.
“Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Petronas Primax meneruskan penglibatan mereka dalam MSF Merdeka Race sebagai Rakan Media. Ini digabungkan dengan sokongan rakan kongsi lama kami yang lain EXN Lube, Rennplatz, Vision Motorsports, Momentum Autosport, dan bateri kereta Energizer; dengan tayar rasmi kami untuk MSF SuperTurismo adalah GITI Tires MotoMSF Superbikes adalah Pirelli,” Prinsipal MSF Adian Yein Khalid.
“Memang sentiasa menjadi tradisi kamu untuk meningkatkan cabaran setiap tahun dan itulah yang kami lakukan dengan perubahan format dalam MSF SuperTurismo dan MotoMSF Superbikes tahun ini. Walaupun MSF terus mengutamakan perlumbaan mampu milik dan mampan untuk orang ramai, kami sama-sama komited untuk memastikan perkara ini dilakukan dengan cara yang tersusun dan progresif bagi bakat peserta kami, dan akan terus meningkatkan bakat peserta kami.”
Selain dari perlumbaan utama MSF SuperTurismo, perlumbaan-perlumbaan sokongan kereta dan motosikal lain turut akan diadakan dalam MSF Merdeka Race 2025. Ia termasuk perlumbaan 40-minit untuk empat kelas iaitu SuperSeries; Tuner Production; SkillDRVN one-make race; dan Campro Cup, serta perlumbaan 75 minit+1 lap untuk Saga dan Myvi Cup.
Manakala untuk motosikal MSF turut menampil perlumbaan unik American V-Twin Cup by Prodigy Racing yang disertai oleh motosikal-motosikal Amerika Syarikat seperti Harley Davidson dan Indian Motorcycle.
Seperti namanya, aksi-aksi perlumbaan MSF Merdeka Race 2025 ini akan bermula pada sambutan Hari Kemerdekaan negara iaitu pada Ahad, 31 Ogos bermula dengan perlumbaan American V-Twin Cup dan pukul 11 pagi, diikuti MotoMSF Superbikes 33-lap bermula pukul 12 tengah hari. Perlumbaan utama MSF SuperTurismo Merdeka 111-lap pula akan bermula pada pukul 5 petang.
Bagi anda yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan ini dari dekat, tiket masuk yang lengkap untuk akses ke paddock dan pit dijual pada harga RM35, dan ia dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam. Tiket dijual ketika hari perlumbaan, dan khas untuk pengguna aplikasi Setel, anda boleh membeli tiket dengan menggunakan mata ganjaran sebanyak 2,500 mata.
Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, masuk adalah percuma. Pelbagai barangan rasmi dan juga trak makanan disediakan ketika perlumbaan berlangsung.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.