Seperti yang diumumkan ketika pelancaran model kemaskini Proton eMas 7 2025 bulan lalu, SUV EV berkenaan kini telahpun menerima penutup ruang kargo belakang (tonneau cover). Aksesori ini bukan hanya diberikan pada eMas 7 yang baru keluar dari bilik pameran sahaja, malah pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada turut akan menerima aksesori yang berharga RM300 ini secara percuma.
Menurut Proton ketika pelancaran eMas 7 2025 tempoh hari, tambahan penutup ruang kargo ini adalah hasil maklum balas yang diberikan oleh pelanggan. Proton memberikan penutup berkenaan dengan kemasan fabrik seakan gentian karbon, dan ia disulam dengan loga ‘Proton eMas’ pada bahagian hujung kanan aksesori tersebut.
Walaupun kemasannya nampak seperti aksesori aftermarket kerana tidak sepadan dengan kemasan-kemasan dalaman standard eMas 7 ini, ia menampilkan fungsi yang baik untuk ‘menyembunyikan’ barang-barang yang disimpan dalam but belakang dari pandangan luar cermin, untuk privasi lebih baik.
Tingkat taraf ini mungkin akan diberikan pada model EV kedua Proton dengan saiz lebih kecil iaitu eMas 5. Namun ia mungkin tidak akan ditawarkan terus ketika pelancarannya nanti dan hanya akan diberikan secara percuma selepas beberapa tempoh.
Antara peningkatan lain yang turut diberikan pada eMas 7 2025 ini termasuk kemaskini OTA yang memberikan fungsi Apple CarPlay yang boleh digunakan sama ada menggunakan wayar atau tidak, dan juga fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.
Bagi pengguna Android, Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa fungsi Android Auto bakal boleh digunakan pada suku keempat tahun ini, juga akan dibuat menerusi kemaskini secara OTA.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.