Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

Mac lalu Nissan telah mengumumkan bahawa ia telah menutup tempahan untuk model GT-R R35 kerana produksinya bakal dihentikan – dan ini dia, unit terakhir GT-R R35 telah disiapkan di kilang Nissan di Tochigi, menandakan berakhirnya produksi kereta sport tersebut selama 18-tahun.

Unit terakhir berkenaan merupakan dari varian Premium Edition T-Spec, dan ia dilayangkan dengan warna ikonik GT-R sejak generasi R34 iaitu Midnight Purple. Unit terakhir ini bukan untuk disimpan di muzium, sebaliknya akan dihantar kepada pelanggan yang menempahnya di Jepun.

Sejak mula dihasilkan pada Disember 2007, Nissan menyatakan sekitar 48,000 unit GT-R R35 ini telah disiapkan menerusi kilang Tochigi berkenaan. Kilang yang terletak sekitar 100 km utara Tokyo ini menerima bekalan enjin VR38DETT dari kilang Nissan di Yokohama, di mana sepanjang 18-tahun diproduksi, 48,000 unit enjin tersebut disiapkan oleh hanya sembilan orang pakar pembina enjin yang digelar “Takumi”.

Nissan ucap selamat tinggal kepada GT-R R35 – unit akhir keluar dari kilang; janji akan ada GT-R baharu

Setiap satu enjin siap dipasang dengan tangan oleh hanya seorang Takumi dalam masa enam jam, dan nama Takumi tersebut dicatatkan pada plak istimewa setiap enjin yang mereka siapkan. Sejak diperkenalkan, enjin VR38DETT ini tampil dalam beberapa versi kuasa, bermula dengan versi paling awal menjana 480 PS, dan versi paling berkuasa disumbat pada GT-R Nismo berkuasa 600 PS dalam keadaan standard.

Walaupun barisan produksi R35 tidak akan terus menyambung produksi GT-R generasi baharu, Nissan menyatakan GT-R tetap akan kembali dengan model generasi seterusnya bila sampai waktu kelak.

“Selepas 18 tahun yang luar biasa, R35 GT-R telah meninggalkan tanda yang berkekalan dalam sejarah automotif. Legasinya adalah bukti keghairahan pasukan kami dan kesetiaan pelanggan kami di seluruh dunia. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan yang luar biasa ini. Kepada ramai peminat GT-R di seluruh dunia, saya ingin memberitahu anda bahawa ini bukanlah ucapan selamat tinggal kepada GT-R selama-lamanya, matlamat kami adalah untuk
membawa kembali nama GT-R satu hari nanti,” kata Presiden dan CEO Nissan, Ivan Espinosa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required