GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

Versi lebih sporty untuk EV comel Ora Good Cat iaitu Ora Good Cat GT telahpun membuat penampilan sulungnya di Malaysia menerusi penyertaannya ketika perarakan sambutan Hari Kemerdekaan di Putrajaya hujung minggu lalu. Kehadiran model berkenaan sebelum ini telah dibayangkan oleh Great Wall Motor (GWM) Malaysia menerusi teaser yang disiarkan ketika prebiu SUV Tank 500 HEV pada April lalu.

Dalam perarakan tempoh hari, penampilan Good Cat GT itu dibuat tanpa sebarang pelekat penyamaran, menyerlahkan perincian-perincian spesifiknya yang lebih agresif berbanding varian biasa. Ia termasuk bampar hadapan yang berlainan dengan tirai udara sisi yang lebih menyerlah, ditambah dengan skirt sisi dan juga panel pelindung pada setiap ruang roda – di mana semua perincian yang disebutkan ini menerima kemasan seakan gentian karbon.

Selain itu ia juga diberikan spoiler bumbung ‘GT’ yang lebih besar, kemasan seperti diffuser di bawah bampar belakang dan dilengkapkan dengan set rim aloi dua tona berdiameter 18-inci. Unit yang dibawa untuk menyertai perarakan ini menerima warna badan Aqua Grey, iaitu salah satu dari dua warna yang ditawarkan untuk Ora Good Cat GT pasaran Thailand.

GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

Varian ini juga menerima banyak serlahan warna kuning, termasuk pada bahagian dalaman seperti pada papan pemuka, panel pintu dan juga pada tempat duduk termasuk sulaman logo GT pada perehat kepala. Bahagian dalaman Good Cat GT ini juga diberikan upholsteri gandingan sued dan kulit pada tempat duduk.

Juga dapat dilihat Good Cat GT ini juga menerima penukar gear yang terletak pada kolum stereng berbanding suis putar yang diletakkan pada konsol tengah untuk model Good Cat yang dijual pada pasaran Malaysia sekarang. Menurut laporan Headlightmag, tuil penukar gear baharu ini adalah perincian untuk model kemaskini Good Cat bagi model tahun 2024, diberikan pada semua varian yang dijual pada pasaran tersebut.

GWM Malaysia masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi untuk Ora Good GT pasaran Malaysia ini. Namun kami jangkakan ia bakal menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti model pasaran Thailand dengan motor elektrik tunggal memacu roda hadapan berkuasa 171 PS (126 kW) dan tork maksima 250 Nm. Ia lebih berkuasa dari versi biasa yang hanya dibekalkan dengan motor menjana 143 PS/210 Nm.

GWM Ora Good Cat GT buat penampilan sulung ketika perarakan Merdeka – bakal dilancarkan tak lama lagi?

Di Thailand sama Ora Good Cat biasa atau GT kedua-duanya menerima bateri baharu litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 57.7 kWj. Ini membolehkan varian biasa bergerak sejauh 480 km menerusi kitaran ujian NEDC, manakala varian GT yang lebih berkuasa menyediakan jarak lebih pendek iaitu 460 km NEDC. Varian GT juga diberikan mod Launch Control yang tidak terdapat pada Good Cat biasa.

Manakala di Malaysia buat masa sekarang, Ora Good Cat ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM114,500 yang diberikan bateri LFP 47.8 kWj (jarak gerak 400 km NEDC), serta varian 500 Ultra 500 dijual pada harga RM144,500 diberikan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 63.1 kWj (jarak gerak 500 km NEDC).

Jadi boleh dijangka Ora Good Cat GT kelak akan dijual pada harga lebih tinggi kerana varian tersebut dijual lebih mahal berbanding varian biasa di Thailand, iaitu 1.099 million baht (sekitar RM144k), sementara Good Cat varian biasa pula berharga antara 799,000 dan 899,000 baht (RM105k dan RM118k).

GALERI: Ora Good Cat GT di Perarakan Hari Kemerdekaan 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required