Puspakom telah mengumumkan bahawa atas arahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), prosedur pemeriksaan berkala mandatori yang dijalankan pada kenderaan komersil kini lebih ketat. Prosedur berkenaan akan mula digunakan secara berperingkat bermula hari ini, 1 September 2025, dan membabitkan empat perkara utama.
Perkara pertama adalah berkenaan keberkesanan sistem brek. Menurut Puspakom ia akan membuat pemeriksaan penuh terhadap semua komponen sistem brek, termasuk ujian penuh keberkesanan brek. Sekiranya salah satu item pengujian menggunakan peralatan atau pemeriksaan secara visual gagal, semua item berkaitan akan turut diperiksa semula semasa pemeriksaan Berkala Semula.
Yang kedua pula adalah ujian brek kenderaan treler. Garis panduan baharu ini menyatakan bahawa semua gandar bagi semua jenis treler perlu diuji, dan bacaan kecekapan keseluruhan brek turut diambil kira bagi menentukan tahap kecekapan brek.
Aspek yang ketiga pula adalah pemeriksaan semula tayar kenderaan. Puspakom menyatakan sekiranya kenderaan yang hadir untuk pemeriksaan Berkala Semula, semua tayar akan diperiksa semula tanpa mengira punca kegagalan pemeriksaan terdahulu. Langkah ini dibuat bagi mengatasi amalan pemilik kenderaan yang hanya menyewa tayar baharu atas tujuan hanya untuk lulus satu-satu pemeriksaan.
Manakala yang terakhir adalah pemeriksaan visual kenderaan. Untuk aspek ini Puspakom menjelaskan bahawa beberapa item pemeriksaan melibatkan komponen yang sebelum ini digugurkan bagi Pemeriksaan Berkala, akan dilaksanakan semula. Item-item tersebut adalah termasuk penutup/bol/nat shaf gandar, bol ‘U’ badan, Cross Member, papan lantai, tempat duduk pemandu dan penumpang, bekas limpahan pengadun (untuk lori simen), keadaan badan/cat badan, panel pintu dan kebocoran minyak pada enjin.
Sekiranya berlaku kegagalan pada mana-mana item yang berfungsi secara berpasangan dalam satu sistem, pemeriksaan semula perlu dibuat ke atas semua item yang berkaitan pada Pemeriksaan Berkala Semula. Puspakom juga menambah bahawa pemeriksaan terhadap kebolehfungsian gandar bogie juga kini diwajibkan.
“Kami faham bahawa perubahan ini mungkin memerlukan sedikit pelarasan untuk pelanggan, namun, adalah penting untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya,” kata Puspakom dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.