Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

Setelah diperkenalkan di Malaysia menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, akhirnya SUV premium Mazda CX-80 2025 dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Untuk pengetahuan anda, Malaysia merupakan negara pertama di rantau ASEAN yang memperkenalkan CX-80, namun terpaksa menunggu hampir setahun untuk melancarkannya.

CX-80 2025 ini model kedua Mazda daripada kumpulan produk mewah Large Product Group yang mentakrifkan semula pemanduan yang berfokuskan tujuan, penuh gaya, dan berhubung secara menyeluruh. SUV premium ini diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, yang dipasang di Hofu Plant, Prefektur Yamaguchi

Untuk pasaran tempatan, hanya satu varian Sahaja yang dilancarkan iaitu 2.5G PHEV AWD High Plus yang ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM331,610 tanpa insurans. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima-tahun, program penyelenggaraan percuma lima-tahun yang meliputi semua penyelenggaraan berjadual termasuk buruh, alat ganti, dan pelincir serta waranti bateri voltan tinggi (HV) sehingga lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana terdahulu).

Sebagai SUV premium dengan enam-tempat duduk, CX-80 ini disasarkan bersaing dengan BMW X5, Audi Q7, Mercedes-Benz GLE dan Hyundai Santa Fe generasi kelima.

Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

Berukuran 4,995 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,710 mm tinggi, CX-80 adalah 250 mm lebih panjang dan and 24 mm lebih tinggi berbanding CX-60, sementara jarak rodanya mencecah 3,120 mm juga lebih panjang sebanyak 250 mm. Jika dibandingkan dengan GLE, model SUV Jepun ini adalah 71 mm lebih panjang, 120 mm lebih sempit dan 87 mm lebih rendah, tetapi jarak rodanya 125 mm lebih panjang.

CX-80 2025 ini diberikan sistem 2.5L e-Skyactiv PHEV yang menggabungkan enjin petrol 2.5L Skyactiv-G dengan hamburan kuasa 189 hp pada 6,000 rpm dan tork 261 Nm pada 4,000 rpm bersama motor elektrik berkuasa tinggi berkuasa 172 hp pada 5,500 rpm dan tork 270 Nm pada 4,000 rpm. Sekaligus memberikan keseluruhan kuasa mencecah 323 hp pada 6,000 rpm dan tork 500 Nm pada 4,000 rpm.

Penjana kuasa ini juga digandingkan bersama transmisi lapan-kelajuan EAT dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai mencecah 195 km/j. Bagi pemanduan elektrik penuh, motor elektrik yang dijanakan oleh bateri lithium-ion 17.8 kWh mampu memberikan jarak geraknya hingga 65 km. Manakala penggunaan bahan apinya pula dikatakan sekitar 1.6 liter bagi setiap 100 km.

Dibina atas platform Large Architecture dengan pacuan semua-roda (AWD), ia menawarkan keseimbangan ketepatan, kestabilan, dan keselesaan. Ia turut digandingkan dengan sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang bersama sistem i-ACTIV AWD serta Kinematic Posture Control.

Penampilan CX-80 ini agak mirip dengan CX-60, cuma bahagian belakang SUV premium ini kelihatan agak besar. Dibentuk dengan konsep Graceful Toughness, CX-80 ini juga menerapkan falsafah Jinba-Ittai Mazda dengan bentuk memanjang, jarak roda panjang, overhang pendek serta kabin tirus mencerminkan prestasi dan keanggunan. Pendekatan seni bina ini meningkatkan pengalaman ruang premium untuk susun atur tiga barisan tempat duduk dan masih mengekalkan estetika anggun yang sinonim dengan Mazda.

Bahagian hadapan menampilkan muncung panjang, gril berukir, serta lampu utama LED adaptif yang menonjolkan konfigurasi enjin hadapan dengan pacuan roda belakang. Lampu signitur berbentuk-L di hadapan dan belakang melengkapkan identiti premium CX-80 manakala lampu utama LED adaptif yang nipis digabungkan secara harmoni ke fascia berukir, manakala kemasan krom halus menyerlahkan komitmen Mazda terhadap pertukangan mewah.

Bagi bahagian gril, ia dilingkari krom yang besar dan fender hadapannya yang menyerlah. Manakala tingkap belakangnya juga lebih besar memberikan pandangan yang lebih luas untuk penumpang yang duduk di barisan ketiga. Melengkapkan lagi gayanya dengan diberikan roda aloi rona hitam bersaiz 20-inci yang dibaluti tayar profil 235/50/R20, bumbung suria panoramik dengan Sliding & Tilt Glass, pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh, kunci automatik walkaway serta pengesan parkir hadapan dan belakang.

Mazda CX-80 2025 kini di Malaysia – varian 2.5G PHEV AWD High Plus, SUV enam-tempat duduk; dari RM332k

Ruang dalamanya juga lebih besar, juga seperti CX-60, dengan papan pemuka mendatar yang kemas, kawalan ergonomik, serta konfigurasi tiga baris tempat duduk luas memberikan keselesaan untuk semua penumpang. Material premium, tekstur mewah, dan pencahayaan ambien mencipta suasana tenang serta mesra.

Jika unit yang dipamerkan di KLIMS 2024, tempat duduknya dibaluti material kulit rona putih, namun untuk versi yang dipasarkan di sini diberikan material kulit Nappa rona Tan (coklat elegan). Ia masih menampilkan kerusi kapten individu di barisan kedua dengan konsol tengah penuh yang menambah gaya serta fungsi. Barisan ketiga pula dilengkapi tempat duduk luas untuk dua penumpang. Ia juga dilengkapi ruang simpanan bersepadu, pemegang cawan tersembunyi, kawalan pendingin hawa, serta port pengecasan memudahkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Ciri kelengkapan lain untuk bahagian kabin termasuklah paparan meter digital 12.3-inci, paparan infotainmen tengah 12.3-inci, Active Driving Display (Head-up Display atau HUD). Paparan ini juga dipadankan dengan Driver Personalization System yang mengenal pasti pemandu secara automatik dan melaraskan lebih 250 tetapan (tempat duduk, stereng, cermin, paparan HUD).

Selain itu, ia turut dilengkapi 360˚ View Monitor dengan teknologi See-Through View, Apple CarPlay tanpa wayar & Android Auto berwayar, pad pengecasan tanpa wayar , sistem audio premium Bose bersama 12-pembesar suara, cermin pandang belakang tanpa bingkai dengan auto-kelam, roda stereng balutan kulit dengan suis kawalan audio dan bebas tangan Bluetooth, pedal penukar gear, suis pemilih mod pemanduan (Normal, Sport, Off-Road, EV), tombol gear balutan kulit, pendingin hawa hadapan dua zon automatik dengan corong udara di belakang, enam unit port USB (Type C), 360° View Monitor, cruise control dan Stop/Start Idling Technology (i-Stop).

Untuk aspek keselamatan, ia iberikan tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), cagak ISOFIX dan Bantuan Mula Mendaki (HLA).

CX-80 yang menerima penarafan lima- bintang Euro NCAP 2024 ini dilengkapi sistem i-Activsense yang merangkum Lampu Utama LED Adaptif (ALH), Pemantauan Titik Buta (BSM), Kepekaan Trafik Lintasan Hadapan dan Belakang, Sistem Amaran Ketibaan Lorong, Sistem Bantuan kekal Lorong (LAS) dengan Bantuan kekal Jalan, Kepekaan Perhatian Pemandu dengan fungsi Pemantauan Pemandu, Sokongan Brek Pintas (SBS), Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan Stop & Go dan Sokongan Trafik dan Kelajuan Santai (CTS).

Untuk pilihan warnanya, ia diberikan rona eksklusif iaitu Melting Copper, Artisan Red, Rhodium White, Jet Black dan Platinum Quartz.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required