MATTA Fair kini kembali dan akan berlangsung hujung minggu ini dari 5 hingga 7 September 2025. Seperti kebiasaannnya, ia juga diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC). Inilah peluang untuk anda yang mencari pakej percutian dan pelancongan dengan harga yang lebih berpatutan.
Jangan risau bab kesesakan lalu lintas dan masalah parkir, gunakan saja kemudahan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak Rapid KL. Anda boleh menaiki bas perantara percuma untuk ke MITEC yang disediakan dari jam 8 pagi sehingga 10 malam selama tiga hari berturut-turut.
Kekerapan ketibaan bas adalah setiap lima hingga 10 minit namun tertakluk kepada keadaan trafik. Lokasi mengambil dan menurunkan penumpang adalah di KL Sentral (Hentian Bas Balai Pelepasan ERL KLIA) dan juga hentian bas di Sunway Putra Mall (bertentangan PWTC).
Rapid KL juga memaklumkan bahawa pihaknya turut mengambil bahagian untuk acara Matta Fair ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik. “Pengunjung dijemput ke reruai Rapid KL di 1K06, Dewan 3, Aras 1, MITEC untuk menikmati tawaran promosi ini, serta mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Rapid KL.
“Selain Pas MyTourist, Rapid KL turut mengetengahkan produk popular lain seperti Pas MyCity iaitu pas perjalanan tanpa had 1 hingga 3 hari untuk warganegara dan bukan warganegara, serta Pas My50 dan banyak lagi,” kata syarikat tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.