Boleh dikatakan hampir setiap kali ada berita tentang Modenas, pasti akan masuk komen pejuang yang bertanyakan tentang “Supermoped” daripada pengeluar motosikal tempatan ini. Tenggelam timbul dalam masa bertahun-tahun, kami boleh katakan sekarang ia sudah berada dalam fasa yang betul-betul hampir kepada pengguna, dengan pelancaran dirancang berlaku pada bulan Oktober ini.
Apa yang anda tahu dalam masa beberapa tahun lepas tentang Supermoped ini sudah tidak boleh dipakai lagi kerana ini adalah satu hasil daripada projek serba baru yang dimulakan dari awal, sejak tahun 2023. Berkemungkinan semasa acara MotoGP di Litar Sepang, anda akan dapat melihat secara penuh motosikal ini dan mungkin juga meletakkan deposit pembelian!
Spesifikasi teknikal masih disimpan rapi Modenas, tapi kami diberitahu, seluruh pembangunan Supermoped ini, termasuk di bahagian enjin dan reka bentuk dibuat sendiri oleh warga Modenas, bersama input daripada rakan kongsi mereka, Kawasaki. Daripada nama rujukan “Supermoped 150” yang digunakan oleh sendiri oleh Modenas, kita juga boleh menjangkakan enjin yang tidak melebihi 150 cc.
Setelah menjadi antara yang terawal melihat motosikal ini depan mata (tapi masih berbalut pelekat camouflage), kami boleh katakan iras dengan motosikal sedia ada dalam pasaran memang wujud, tapi ia bukanlah betul-betul sama. Modenas menyuntik DNA rekaan mereka, bersama Kawasaki dengan antara yang boleh dilihat termasuk garis-garis tajam Sugomi dan “air ram” (hiasan) di hadapan.
Kami juga diberi peluang menjadi antara orang luar terawal menunggang Supermoped ini, di kawasan lapang terhad berhadapan pejabat bahagian penyelidikan dan pembangunan Modenas. Antara yang boleh dirasa, pengendaliannya ringan, tiada maklum balas kurang menyenangkan dan mempunyai serapan suspensi yang tegap. Tempat duduk pula, meskipun nampak kurus, masih lagi selesa dan tidak terlalu menjunam ke hadapan.
Kuasa hentian yang dihasilkan tetapan cakera hadapan dan belakang juga memuaskan, tetapi perlu anda ketahui, ia cuma datang dengan ABS single-channel. Setakat mencuba di jalan pendek, kami boleh katakan kuasanya naik cepat, sementara kemasukan gear pula adalah lancar. Bahagian lain, kami hanya boleh memberitahu apa yang boleh dilihat terus dengan mata.
Antaranya, rim 17 inci dengan tayar FKR 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, meter LCD yang nampak familiar, butang-butang kawalan kemas serta rekaan lampu LED yang menarik di hadapan dan belakang. Tetapan suspensi biasa sahaja, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, manakala bawah tempat duduk pula tiada sebarang ruang simpanan kecuali untuk alatan (tools) kecemasan.
Menurut wakil Modenas, Supermoped ini perlu dihasilkan dengan berkualiti kerana ia turut membawa nama Kawasaki dan mempunyai kemungkinan untuk dieksport ke negara luar menggunakan jenama Jepun ternama itu. Walaubagaimanapun dalam masa sama, ia masih akan dipasarkan dengan harga yang berpatutan dan mudah dijangkau oleh orang ramai, seperti kebiasaan bagi model-model Modenas sebelum ini.
Lebih lagi perinician akan didedah apabila pelancarannya semakin hampir, dan kami akan terus sampaikan kepada anda. Jangan terlepas!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Kalau moto ni nak laku, harga kena sama dengan Honda RS V3. Kalau sama dengan harga voge fr, memang tak laku la moto ni