Proton telah mengumumkan bahawa sebanyak 5,000 unit model X50 2025 telah pun dihantar kepada para pelanggan yang menempah sejak SUV segmen-B dilancarkan pada 24 Julai lalu.
Proton X50 facelift 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian dan berharga atas jalan bermula RM89,800 untuk varian 1.5TD Executive, diikuti RM101,800 untuk varian 1.5TD Premium, manakala varian tertinggi 1.5TD Flagship berharga RM113,300
Ketika pelancarannya, Proton turut menawarkan harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000 untuk 10,000 unit terawal, menjadikan harga jualan hanya RM85,800 untuk Executive, RM97,800 untuk Premium dan RM109,300 untuk Flagship sebelum 31 Oktober 2025.
X50 facelift ini menerima unit rangkaian kuasa baharu yang menampilkan enjin i-GT 1.5TD empat-silinder berkuasa 181 PS/290 Nm bagi menggantikan enjin 1.5 liter tiga selinder turbo sebelum ini. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dibuat dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan bahan apinya juga 4.7% lebih jimat.
Selain enjin baharu, X50 facelift ini turut tampil dengan rekaan luaran baharu terutamanya pada bahagian hadapan yang direka semula termasuk bampar yang lebih besar dan jelas kelihatan bahagian hitam dengan kemasan krom ala bukaan udara di bucu kiri dan kanannya.Saiz rim bagi X50 ialah antara 17 hingga 18 inci bergantung kepada varian. Lampu belakang kini dengan jalur berkelebaran penuh LED, dengan rekaan yang juga semakin nipis dalam lekuk tersendiri, dengan tulisan Proton berada kemas di bawahnya.
Di dalam kabin juga diberikan pelbagai ciri naiktaraf termasuk papan pemuka yang lebih rata dan ringkas. Di tengahnya, terletak sebuah skrin infotainmen yang lebih besar dengan saiz 14.6-inci. Skrin berkenaan mempunyai paparan HD penuh (1920 x 1080), paparan skrin lebar 16:9, pemproses quad-core dengan 6GB RAM dan 64GB storan ROM serta Android 10 System. Malah X50 facelift kini telah diberikan fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.
Bagi aspek keselamatan, sistem ADAS dengan fungsi dipertingkat bagi ciri pemanduan bantuan Tahap 2, termasuk kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go serta bantuan kekal lorong, sistem parkir automatik yang lebih baik untuk varian Flagship, dan enam beg udara sebagai ciri standard.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.