Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

Mercedes-Benz memperkenalkan model elektrik penuh GLC dengan Teknologi EQ di Pameran Mobiliti IAA 2025 di Munich, sebagai pencabar terus kepada BMW iX3 generasi baru. Model ini bakal dipasarkan bermula separuh pertama tahun 2026, dimulakan dengan varian GLC400 4Matic.

GLC EQ dibina menggunakan platform MB.EA-Medium, iaitu versi pertengahan dalam struktur binaan elektrik Mercedes-Benz, dengan sistem elektrik 800 volt yang membolehkannya mencapai kecekapan lebih tinggi berbanding model sebelumnya, EQC. Menurut Mercedes-Benz, GLC EQ mampu bergerak sejauh 713 km dengan sekali cas penuh mengikut piawaian WLTP, hasil daripada penggunaan bateri lithium-ion berkapasiti 94 kWh.

Untuk pengecasan, kadar maksimum pengecasan AC ialah 11 kW, dengan pilihan naik taraf ke 22 kW. Pengecasan pantas DC pula mencecah 330 kW, membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% dalam masa 22 minit, manakala jarak sejauh 300 km boleh diperoleh dalam masa hanya 10 minit.

Di beberapa pasaran, kenderaan ini turut dilengkapi converter DC untuk menyokong stesen pengecasan 400 volt. Penggunaan tenaga dianggarkan serendah 14.9 kWh/100 km dan sistem pengecasan dua hala juga tersedia di pasaran yang menyokong fungsi tersebut.

Model ini dikuasakan oleh dua motor elektrik synchronous, iaitu satu di setiap gandar, megnhasilkan pacuan semua roda (AWD) dan jumlah kuasa mencecah 489 PS (360 kW). Gandar belakang dilengkapi transmisi dua kelajuan, manakala hadapan menggunakan gear pengurang (reduction) tunggal. Dengan gabungan ini, GLC EQ mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 4.3 saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j serta keupayaan menunda sehingga 2.4 tan.

Berbanding EQC, hampir semua aspek GLC EQ telah dipertingkatkan, termasuk saiz fizikalnya. Ia kini berukuran 4,845 mm panjang, 1,913 mm lebar dan 1,644 mm tinggi, dengan jarak roda 2,972 mm – semuanya lebih besar daripada model terdahulu. Ruang simpanan turut ditingkatkan, dengan 128 liter di bahagian frunk dan 570 liter di ruang but belakang, yang boleh dibesarkan sehingga 1,740 liter apabila kerusi dilipat.

Sistem gantungan dipertingkat dengan Airmatic dari S-Class, yang boleh melaraskan penyerap hentak berdasarkan maklumat car-to-X. Sistem stereng gandar belakang disediakan sebagai pilihan, membolehkan tayar belakang berpusing hingga 4.5 darjah di bawah 60 km/j dan 2.5 darjah pada kelajuan lebih tinggi. Di bahagian depan, sistem gandar four-link digunakan, manakala gandar belakang menggunakan sistem multi-link yang dipasang pada pivot tengah.

Untuk sistem brek, GLC EQ hadir dengan sistem baru dipanggil One-Box, yang menggabungkan komponen seperti booster, silinder induk dan kawalan ESP dalam satu modul padat. Hampir semua operasi membrek dilakukan melalui sistem penjanaan semula kuasa sehingga 300 kW dan terdapat empat tahap pemulihan tenaga termasuk mod ‘D-’ yang paling agresif, memberikan pengalaman pemanduan satu pedal.

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

Seperti biasa, beberapa mod pemanduan disediakan, termasuk Terrain, yang mengaktifkan fungsi “bonet lutsinar” – membolehkan pemandu melihat halangan di laluan menerusi paparan digital.

Bahagian luaran GLC EQ menampilkan wajah baru Mercedes-Benz, dengan gril hadapan berbingkai krom tebal, struktur jeriji seperti kaca gelap serta lampu keliling. Pilihan gril bercahaya turut ditawarkan, lengkap dengan logo bintang tengah bercahaya dan 942 titik cahaya belakang yang boleh dianimasikan untuk efek seakan piksel.

Lampu utama LED penuh adalah standard, manakala Digital Light ditawarkan sebagai pilihan, menampilkan jalur lampu siang yang membentuk logo bintang tiga penjuru. Lampu belakang dua bahagian juga hadir dengan elemen bintang di bahagian dalamnya, berserta jalur cahaya yang menunjuk ke arah logo tengah.

Meskipun rekaan luarannya mengekalkan elemen rekaan GLC standard – termasuk bampar dan garis tali pinggang yang menaik – model elektrik ini tetap menonjol dengan pemegang pintu tersembunyi, bumbung aerodinamik dan lampu serta gril unik.

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

Bahagian dalaman pula jauh berbeza. GLC EQ menampilkan sistem MBUX generasi keempat dan kemuncaknya adalah MBUX Hyperscreen 39.1 inci – pilihan tambahan yang meliputi hampir keseluruhan papan pemuka. Ia menggabungkan tiga paparan digital di bawah satu permukaan kaca – paparan instrumen 10.3 inci, serta dua skrin sentuh 14 inci untuk infotainmen tengah dan penumpang hadapan.

MBUX Hyperscreen menggunakan lebih 1,000 LED untuk ciri malap setempat dan disokong oleh cip berprestasi tinggi serta grafik masa nyata dari Unity Game Engine. Antara ciri pintarnya ialah MBUX Zero Layer, yang memaparkan info penting dan cadangan mengikut konteks, bersama integrasi AI daripada Microsoft dan Google, ChatGPT-4o, serta MBUX Virtual Assistant baru. Pengguna juga boleh memilih dua avatar baru, termasuk “manusia maya dari awan bintang” dan LittleBenz dengan ekspresi wajah yang lebih peribadi.

Untuk elemen mewah, terdapat pilihan bumbung kaca Sky Control yang boleh ditukar antara lutsinar dan gelap, dibahagikan kepada sembilan zon boleh kawal. Lampu suasana yang mengagumkan turut disepadukan, termasuk 162 bintang bercahaya dalam permukaan kaca.

Sistem audio Burmester 4D dengan Dolby Atmos disediakan sebagai pilihan, lengkap dengan pengalaman bunyi yang diselaraskan dengan pencahayaan dalaman. Banyak fungsi kabin, termasuk tempat duduk pelbagai fungsi, dihubungkan dengan sistem Energizing Comfort yang menawarkan program rehat semasa perjalanan jauh.

Mercedes-Benz GLC dengan EQ Technology didedah – struktur 800V, suspensi udara, jarak gerak 713 km

Saiz lebih besar turut memberi manfaat kepada ruang kabin. Mercedes-Benz menyatakan terdapat tambahan 13 mm ruang kaki dan 46 mm ruang kepala di hadapan, manakala penumpang belakang mendapat 47 mm ruang kaki dan 17 mm ruang kepala tambahan. Kawalan fizikal seperti butang tekan dan guling kini kembali pada stereng untuk sistem seperti Distronic dan pengehad kelajuan, namun panel sentuhan kapasitif masih dikekalkan.

Dari segi keselamatan dan bantuan pemandu, GLC EQ dilengkapi dengan 10 kamera, lima radar, 12 sensor ultrasonik dan komputer dengan sistem penyejukan air, yang menyokong pelbagai sistem bantuan. Ciri seperti Distance Assist Distronic adalah standard, manakala pakej naik taraf termasuk MB.Drive Assist, MB.Drive Assist Plus, MB.Drive Assist Pro, serta MB.Drive Parking Assist dan Parking Assist 360.

Tahap bantuan pemanduan juga meningkat secara progresif dari Tahap Autonomous SAE Level 2 hingga ke sistem pemanduan sendiri sepenuhnya dari titik ke titik, yang akan ditawarkan bergantung kepada undang-undang tempatan. Sistem bantuan parkir pula membolehkan kenderaan keluar dari petak secara automatik walaupun diparkir secara manual.

Model GLC EQ ini akan dipasang di kilang Mercedes-Benz di Bremen, Jerman, dengan pengeluaran tambahan dirancang di Kecskemet, Hungary dan juga di fasiliti Beijing Benz Automotive, China.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required