Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyatakan bahawa harga kereta di Malaysia ditentukan oleh pasaran dan tidak dikawal oleh kerajaan, yang telah menyediakan pelbagai insentif serta pengecualian cukai bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) melalui Kementerian Kewangan, laporan Bernama.
“Tujuan insentif ini termasuk menggalakkan penggunaan komponen keluaran tempatan daripada vendor, mempromosikan pelaburan berkualiti, serta menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Malaysia.
“Melalui insentif dan pengecualian cukai ini, pengeluar kenderaan dapat menawarkan harga yang lebih kompetitif untuk pasaran tempatan berbanding kenderaan import sepenuhnya,” ujar MITI sebagai jawapan kepada Senator Datuk Ahmad Ibrahim yang bertanya di Dewan Negara sama ada kementerian berhasrat menyemak harga kereta keluaran Malaysia, yang dilihat mahal walaupun tanpa duti import, sehingga memaksa orang ramai mengambil pinjaman jangka panjang.
Tambah MITI, “Perodua menghasilkan kenderaan kategori Rahmah yang ditawarkan pada harga mampu milik RM22,000 tidak termasuk insurans, sekali gus membolehkan lebih ramai memiliki kereta. Proton juga menawarkan model Saga pada harga bawah RM40,000. Kerajaan berharap melalui pendekatan ini, rakyat dapat memilih kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan mereka bagi mengelakkan beban kewangan yang berat.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.