Porsche membuat kejutan di Pameran IAA Mobility 2025 di Munich dengan memperkenalkan sistem pengecasan tanpa wayar untuk kenderaan elektrik (EV), menjadikannya pengeluar automotif pertama yang menawarkan teknologi ini kepada pelanggan (dakwa mereka). Sistem ini menyokong pengecasan sehingga 11 kW dan menggunakan plat lantai satu kotak (one-box floor plate) sebagai asas utama pengecasan.
Model pertama yang akan menerima teknologi ini ialah Porsche Cayenne elektrik generasi baru, dikenali dengan nama kod E4, yang dijangka membuat penampilan sulung pada hujung tahun 2025. Sistem yang dinamakan secara rasmi sebagai Porsche Wireless Charging floor plate ini tidak memerlukan wallbox atau unit kawalan tambahan untuk berfungsi. Ia juga sangat kompak dengan ukuran 117 cm panjang, 78 cm lebar dan 6 cm tinggi, dengan berat sekitar 50 kg.
Pada kenderaan, unit penerima dipasang di bawah badan antara dua roda hadapan – lokasi ini dipilih bagi melindungi komponen daripada batu kerikil dan cuaca. Sistem ini adalah sebahagian daripada pakej pilihan yang digelar ‘Porsche Wireless Charging pre-installation and Porsche Wireless vehicle plate’.
Untuk mengecas, pemandu hanya perlu meletakkan kenderaan di atas plat pengecas. Sebaik sahaja kenderaan berada di posisi betul, pemindahan tenaga tanpa sentuh akan berlaku secara automatik dengan jarak hanya beberapa sentimeter.
Malah, kenderaan juga akan merendahkan diri secara automatik untuk mengoptimumkan kedudukan. Porsche turut melengkapkan sistem ini dengan paparan khas dalam fungsi kamera keliling kenderaan, bagi membantu pemandu meletakkan kenderaan secara tepat. Selepas itu, hanya perlu tarik brek tangan dan proses pengecasan akan bermula.
Fungsi seperti pengecasan mengikut masa dan penyejukan atau pemanasan kabin awal turut boleh diguna, seperti pengecasan berwayar. Dengan kadar pengecasan sehingga 11 kW, sistem ini menyamai pengecasan AC berwayar dari segi kuasa, malah kecekapan pemindahan tenaga tanpa wayar dikatakan mencapai sehingga 90%.
Porsche juga memastikan keselamatan pengguna terjamin. Jika terdapat haiwan peliharaan atau objek logam yang terletak di antara plat lantai dan kenderaan, sistem akan menghentikan pengecasan secara automatik. Objek logam yang boleh memanas turut akan dikesan dan dihentikan bagi mengelakkan sebarang bahaya.
Plat lantai ini dilengkapi dengan modul LTE dan WLAN terbina, yang membolehkan ia menerima kemas kini perisian dari jauh serta menghantar data telematik ke aplikasi My Porsche. Pelancaran awal sistem pengecasan tanpa wayar ini akan bermula di Eropah pada tahun 2026, diikuti pasaran lain secara berperingkat.
Dalam usaha mempamerkan teknologi ini, Porsche telah membawa prototaip Cayenne Electric yang dipasang sistem pengecasan tersebut ke Munich. Walaupun ia masih prototaip, ia ditampilkan dengan corak penyamaran dinamik yang direka khas. Bahagian tertentu dibiarkan gelap dengan lima tona warna dari biru ke ungu, dikawal secara terperinci.
Lapisan catnya pula bukan biasa-biasa. Ia terdiri daripada lebih 25 lapisan ultra nipis, termasuk primer konduktif, lapisan elektrod, lapisan penebat, serta bahan elektroluminesen yang memancarkan cahaya apabila dikenakan voltan berselang. Selain itu, terdapat lebih 15 lapisan salutan jernih, dengan 100 liter varnis digunakan, lebih 30 kali sesi menggosok dan lebih 500 meter kabel dipasang bagi mencipta kesan visual istimewa pada model pameran ini.
Dengan teknologi baru ini, Porsche bukan hanya menunjukkan kemajuan dalam dunia pengecasan EV, tetapi juga bagaimana kemudahan dan gaya boleh digabungkan dalam satu pakej inovatif.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.