Volkswagen secara rasmi telah memperkenalkan model konsep terbaru mereka, Volkswagen ID.Cross Concept, di Munich Motor Show. Model ini menjadi petanda awal kepada versi produksi yang dirancang untuk dilancarkan sekitar pertengahan tahun 2026.
Menurut ketua bahagian reka bentuk Volkswagen, Andreas Mindt, rekaan ID.Cross ini mewakili bahasa rekaan baru syarikat yang dikenali sebagai ‘Pure Positive’. Reka bentuk ini dibangunkan berasaskan tiga elemen utama iaitu kestabilan, keperibadian menarik dan elemen istimewa yang akan menjadi identiti utama semua model Volkswagen pada masa akan datang.
ID.Cross dibangunkan menggunakan platform MEB+, iaitu versi dinaik taraf daripada platform MEB yang mula diperkenalkan pada 2022. Model konsep ini dikuasakan oleh motor elektrik di hadapan dengan kuasa 211 PS, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 175 km/j. Kapasiti bateri berkuasa tinggi tidak didedahkan, namun Volkswagen menyatakan bahawa model ini mampu mencatat jarak perjalanan sejauh 420 km mengikut standard WLTP.
Dari segi saiz, ID.Cross Concept mempunyai dimensi 4,161 mm panjang, 1,839 mm lebar dan 1,588 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,601 mm. Saiz ini hampir menyamai model T-Cross sedia ada. Untuk gaya dan prestasi, ID.Cross dilengkapi dengan rim aloi 21 inci “Balboa” yang dibalut tayar 235/40R21 keluaran Goodyear.
Ruang simpanan belakang menawarkan kapasiti 450 liter, ditambah 25 liter lagi di bahagian hadapan (frunk), sekaligus menjadikan ia cukup praktikal untuk kegunaan harian. Bahagian dalaman pula direka untuk memberikan suasana yang tenang dan menenangkan, dengan penggunaan tona warna beige sebagai tema utama.
Tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka dilengkapi dengan balutan fabrik, manakala konsol tengah pula menampilkan tumbuhan sebenar bagi menonjolkan elemen semula jadi, yang turut disepadukan dalam rekaan grafik skrin. Tempat duduk juga boleh dilipat rata bagi membentuk ruang baring santai.
Dari segi teknologi, Volkswagen mengekalkan pendekatan baru mereka dengan mengembalikan butang fizikal untuk kawalan utama, berbeza daripada pendekatan skrin sentuh sepenuhnya sebelum ini. Model ini dilengkapi dengan dua paparan digital – satu paparan pemandu 11 inci dan satu lagi skrin infotainmen tengah 13 inci.
Stereng pelbagai fungsi kini mempunyai butang fizikal dan barisan butang tambahan diletakkan di bawah skrin utama. Konsol tengah turut menempatkan ruang khas untuk telefon pintar dan tempat letak cawan di bahagian bawahnya.
Secara keseluruhan, Volkswagen ID.Cross Concept memberi gambaran jelas tentang arah tuju reka bentuk dan teknologi jenama ini menjelang tahun-tahun akan datang – menggabungkan elemen moden, mesra pengguna dan mesra alam dalam satu pakej kenderaan elektrik serba baru
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.