Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) telah merekodkan sebanyak 27 kes kebakaran melibatkan kenderaan EV dan hibrid sejak tahun 2023 hingga Julai tahun ini, dengan purata 10 kes setahun, lapor The Edge.
“Bagi pihak Bomba, kebakaran EV adalah satu daripada cabaran terbesar kerana ia melibatkan tahap risiko yang tinggi ketika operasi memadamkan kebakaran. Penggunaan selimut api menjadi antara cara paling berkesan untuk memadamkan kebakaran EV, selain penggunaan air dan buih.” ujar Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu di Dewan Negara, hari ini.
Pernyataan itu adalah susulan daripada pertanyaan Senator Datuk Ahmad Ibrahim berkaitan adakah sebarang perancangan untuk membekalkan selimut api kepada stesen Bomba di bandar-bandar utama berikutan meningkatnya kes kebakaran melibatkan kenderaan EV dan hibrid. Aiman menjelaskan, sebanyak 318 unit selimut api bernilai RM915,000 telah dibeli tahun ini untuk diagihkan ke stesen bomba terpilih seluruh negara.
EV Fire Blanket Safety Video 🔥🚗
Learn how fire blankets can save lives and property! This guide educates the public and companies on the proper use of fire blankets for EV safety.
Thank you to Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia and everyone who made this video a success. pic.twitter.com/pLvT1sDoKH
— myzeva (@myzevaorg) August 14, 2024
“Sebagai tambahan, jabatan itu juga telah menerima 30 unit selimut api daripada Persatuan Kenderaan Sifar Emisi Malaysia (MyZEVA), yang telah diagihkan secara berperingkat bermula Disember 2024 hingga 13 Mei tahun ini,” ujar beliau, yang menambah bahawa agen penyejuk serta bekas rendaman menjadi antara alternatif yang turut dikaji oleh Bomba untuk menangani kebakaran EV.
“Ketika ini, agen penyejuk yang digunakan oleh jabatan berkenaan bagi memadamkan kebakaran EV ialah air, yang bertujuan untuk mengurangkan tahap kepanasan bateri sekali gus menghindarkan api daripada merebak ke bahagian lain.
“Penggunaan agen penyejuk lain seperti serbuk kering, agen pembersih serta gas lengai pula tidak sesuai untuk digunakan di kawasan terbuka kerana ia memerlukan kaedah rendaman menyeluruh untuk berfungsi dengan berkesan,” ujar beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.