Chery O5 yang merupakan nama baharu bagi Omoda 5 facelift, bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada 10 September 2025. Chery Malaysia telah mendedahkan perkara ini menerusi imej teaser yang disiarkan menerusi laman media sosial rasminya sejak pagi semalam termasuk mendedahkan roda baharu bagi O5 ini.
Malah Chery Malaysia juga telah menguar-uarkan bahawa O5 ini akan dipamerkan secara terbuka untuk tatapan umum mulai hari ini hingga 15 September di Premier Terrace, Lot 10 Kuala Lumpur. Tempahan bagi model ini juga sudah dibuka.
Seminggu sebelum pelancarannya, Chery Malaysia mengesahkan nama O5 ini iaitu versi facelift bagi SUV segmen-C Omoda 5, tidak lagi menggunakan nama ‘Omoda’ kerana jenama itu telah diletakkan di bawah sub-jenamanya iaitu Omoda | Jaecoo untuk pasaran tempatan.
Omoda 5 facelift ini pertama kali didedahkan di peringkat global di Rusia pada September tahun lalu, dan
telah dilancarkan pada pasaran Indonesia pada Jun lalu, dikenali sebagai Chery C5 di sana. Menerima suntikan yang lebih segar, model ini menerima wajah baharu yang menampilkan jalur grafik LED lampu nyalaan siang sama seperti versi EV Omoda E5, bersama bampar baharu yang direka bagi membentuk elemen-X pada bahagian wajahnya, berserta gril pada bahagian bawah yang direka lebih besar.
Manakala pada gril utama ditampilkan sedikit lebih kecil dengan elemen rekaan batu permata yang hadir dalam kemasan hitam-warna badan. Walau bagaimanapun, tulisan ‘OMODA’ pada bar sambungan antara lampu nyalaan siang hadapan masih lagi dikekalkan, tidak seperti model pasaran Australia di mana ia sudahpun menerima skrip ‘CHERY’ pada tempat yang sama. Chery Malaysia turut mengesahkan bahawa 05 2025 bakal diberikan rim 18-inci dengan rekaan baharu.
Chery O5 ini masih lagi dipacukan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Namun ia tidak lagi akan diberikan kotak gear CVT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear DCT klac berkembar automatik enam-kelajuan. Chery Malaysia juga mengesahkan bahawa tetapan suspensi belakang torsion beam pada model sedia ada akan digantikan dengan konfigurasi multi-link yang lebih bebas dan jitu.
Ruang kabinnya juga kelihatan kekal moden dan teratur, dan dijangka menampilkan ciri kelengkapan termasuk skrin berkembar 10.25-inci, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk ventilasi, pendingin hawa dwi-zon automatik,sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara serta pengecas tanpa wayar. Bagi aspek keselamatan, dijangkakan bakal menerima enam beg udara, bantuan pemandu ADAS Tahap 2 dan sistem kamera pemantau sekeliling ‘540-darjah’.
Senarai harga untuk Omoda 5 versi pre-facelift ialah RM108,800 untuk varian C dan RM118,800 bagi H, sebelum diskaun. Dibandingkan dengan Proton X50 2025 yang ditawarkan pada harga bermula RM85,800 hingga RM109,300. Agak-agaknya berapa pula harga bagi O5 2025 yang bakal dilancarkan esok? Kami akan mendedahkannya bersama perincian penuh apabila ia dilancarkan.
GALERI: Chery C5 2025 untuk pasaran Indonesia di GIIAS 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.