Selepas membuat penampilan umum di Malaysia ketika acara Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, iCaur 03 — yang sebelum itu turut ditunjuk di Malaysia sebagai Jaecoo J6 tahun lalu — kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Dua varian ditawarkan bagi model sulung iCaur ini, iaitu versi 2WD dengan harga RM119,800 dan juga versi iWD (Intelligent Wheel Drive) dengan harga RM129,800 — harga atas jalan belum termasuk insurans.
SUV yang tampil dengan konsep rekaan i-Box ini mempunyai ukuran dimensi 4,406 mm panjang, 1,910 mm lebar dan 1,715 mm tinggi dengan jarak roda 2,715 mm — ini berada dalam dimensi saiz yang hampir sama dengan BYD Atto 3. SUV elektrik ini hadir denga berat 1,874 kg. SUV ini mempunyai sudut hadapan (approach angle) 28-darjah, sementara sudut berlepas (departure angle) di belakang 32-darjah. Kemampuan meredah air SUV ini adalah setinggi 600 mm.
iCaur juga mendakwa model ini merupakan yang pertama dalam kelasnya yang menggunakan badan aluminium dan casis monocoque, dengan ciri perlindungan anti-karat hingga 30 tahun. Struktur berkenaan memberikan ketahanan torsional sebanyak 31,812 Nm — satu angka yang melebihi binaan sebahagian kereta sport moden.
Untuk sistem janaan kuasa, varian 03 2WD digerakkan oleh motor yang terletak di belakang dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 220 Nm. Motor berkenaan menerima bekalan kuasa daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 65.7 kWj, dan memberikan jarak perjalanan sehingga 426 km NEDC (355 km WLTP).
Manakala 03 iWD pula dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang memanfaatkan dua unit motor — satu yang terletak di bahagian depan memberikan janaan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dengan tork 165 Nm, sementara yang terletak di belakang hadir dengan unit untuk varian 2WD, dengan janaan kuasa 184 PS/220 Nm. Keseluruhannya, 03 iWD menghasilkan output sebanyak 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 385 Nm. Ini membolehkanya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 150 km/j.
Bateri untuk varian 03 iWD hadir dengan kapasiti lebih besar, unit LFP dengan 69.8 kWj. Ini memberikan jarak perjalanan 418 km NEDC (atau 342 km WLTP — angka yang sama dengan jarak Jaecoo J6). Turut melindungi bateri ini ialah sistem bateri IPX8 4-lapis, yang terdiri daripada penebat seramik mica di atas yang tahan suhu tinggi dengan plat aluminium 10 mm di bahagian bawah, yang berfungsi untuk memberikan perlindungan ketika berada dalam keadaan ekstrim.
Untuk pengecasan, kedua-duanya membolehkan pengecasan pantas hingga 80 kW, dengan kadar dari 30% hingga 80% boleh dicapai dalam masa 30 minit. Untuk pengecasan AC, ia boleh dilakukan dalam kapasiti hingga 6.6 kW. Ia juga dilengkapi dengan sistem vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW.
Tidak ketinggalan ialah ciri iRoad yang menyediakan 10 pilihan mod pemanduan, serta digandingkan juga dengan suspensi belakang multi-link lengan-H untuk lebih daya tahan serta artikulasi gandar yang lebih bagus.
Untuk ruang dalaman, ia antara lain dilengkapi dengan skrin sentuh infotainmen 15.6-inci HD di tengah yang dikuasakan oleh cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8155. Ini dilengkapi oleh digital panel instrumen 9.2-inci, manakala sistem bunyi Infinity-nya datang dengan 12-pembesar suara (untuk varian iWD) — ada juga sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Antara kelengkapan lain yang tersedia termasuklah All View Monitor (AVM) 540-darjah, sistem peninjau tekanan tayar (TPMS), pengecas tanpa wayar 50W serta pengimbas NFC yang terletak di cermin sisi sebelah pemandu.
Selain itu, ciri keselesaan lain yang tersedia termasuklah kerusi berliang dengan fungsi urut untuk dua kerusi di depan (untuk varian iWD). Ruang barangan yang tersedia adalah 450 liter, yang boleh ditambah menjadi 1,238 liter jika kerusi belakang direbahkan. Ruang storan tambahan seluas 40 liter juga tersedia di belakang untuk menyimban barangan kecil. Keseluruhannya ada 35 ruang kecil untuk simpanan barangan.
Bagi aspek keselamatan, selain enam beg udara, iCaur 03 lengkap dengan fungsi ADAS Tahap 2 yang terdiri daripada ciri berikut:
- Autonomous Emergency Braking (AEB)
- Drive Away Info (DAI)
- Front Collision Warning (FCW)
- Emergency Lane Keeping (ELK)
- Lane Departure Warning (LDW)
- Rear Collision Warning (RCW)
- Lane Departure Prevention (LDP)
- Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
- Adaptive Cruise Control (ACC)
- Traffic Jam Assist (TJA)
- Blindspot Detection (BSD)
- Door Opening Warning (DOW)
iCaur 03 didatangkan dengan lima pilihan warna — perak, kelabu, putih, hitam dan Aurora Green sebagai warna hero. Ia juga ditawarkan dalam Black Phantom Edition yang boleh dipilih dengan tambahan kos RM20,000 — terdiri daripada bodykit luaran, kemasan hitam kesat, rak bumbung dan juga tangga sisi dan hanya untuk 100 unit sahaja.
iCaur 03 datang dengan jaminan tujuh-tahun/150,000 km untuk kenderaan; jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri dan komponen elektrik dan pacuan; dan gantian bateri jika kapasitinya turun lebih rendah dari 70% dalam tempoh jaminan lapan-tahun tersebut.
iCaur 03 2WD 2025
iCaur 03 iWD 2025
iCaur 03 iWD 2025 dengan aksesori
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.