Makmal Forensik Kenderaan (Makmal CAM Kenderaan) telah pun dilancarkan semalam oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Bertempat di CyberSecurity Malaysia, Cyberjaya, makmal ini menjadi penanda aras baharu dalam bidang forensik digital automotif, yang berperanan memperkukuh aspek keselamatan siber negara.
Dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia (CSM), pembukaan makmal ini adalah inisiatif yang direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), termasuk pembangunan teknologi real-time black box untuk merekod data kenderaan secara langsung.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, malah membuka peluang kepada inovasi, penyelidikan dan pengkomersialan teknologi forensik digital dalam sektor automotif negara.
Menurut laporan Harian Metro, berbanding dengan kaedah sedia ada yang bergantung kepada bukti fizikal di lokasi nahas serta anggaran yang dijalankan, makmal yang pertama di negara ini itu berupaya menganalisis data dalam perakam data kejadian (event data recorder), modul kawalan beg udara (airbag control module) dan sistem maklumat hiburan kenderaan (infotainment) untuk mengetahui situasi sebenar yang berlaku.
Gobind Singh Deo berkata, inisiatif oleh CSM itu sangat penting kerana ia dapat membantu semua pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan. Di mana data yang diperoleh itu boleh dinilai dan diteliti di makmal, sekali gus membantu siasatan pihak berkuasa.
“Saya berasa kita semua tahu pentingnya data bila berlaku satu insiden yang memerlukan siasatan. Kedua, kita juga dapat melihat apakah sebenarnya yang telah membawa kepada insiden tersebut dan kita dapat mengambil langkah-langkah untuk kita cuba memastikan bahawa kekurangan-kekurangan yang wujud, yang telahpun membawa kepada kemalangan atau insiden tersebut dapat kita perbaiki.
“Kemudian, kita juga dapat mengumpul data terbabit untuk penilaian atau apa yang kita kata ‘predictive technologies’,” katanya sambil menambah buat masa ini makmal berkenaan bekerjasama dengan pihak berkuasa, khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mempunyai peranan besar dalam siasatan insiden membabitkan kenderaan dan sebagainya.
Selain menjalankan penyelidikan dan analisis data kenderaan berkaitan kemalangan dan isu keselamatan, makmal berkenaan juga menyokong siasatan forensik digital agensi penguatkuasaan undang-undang melalui bukti digital yang sahih dan berintegriti.
Walau bagaimana pun, Gobind berkata, beliau menyedari kebimbangan mengenai bagaimana data yang dikumpul itu digunakan secara selamat. Justeru, katanya, perkara itu adalah aspek yang diberi penekanan dalam membangunkan makmal berkenaan dalam memastikan data yang digunakan untuk siasatan yang dijalankan disimpan dengan selamat.
“Di Malaysia kita ada undang-undang yang cukup jelas yang berkaitan dengan data peribadi dan sebagainya. Inilah perkara yang kita tidak akan kompromi. Jadi, tadi pun saya tanya soalan berkaitan dengan apabila berlaku satu insiden ataupun ada permintaan untuk siasatan kita kena pastikan bahawa setiap keperluan dari sudut undang-undang dipatuhi sebelum data itu dapat diberikan,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya juga memberikan jaminan akan melihat aspek keselamatan siber dan juga ‘privacy data’ terutama bagi menjayakan proses yang diperlukan. Dalam masa yang sama, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak berkuasa dan mereka yang memerlukan kerjasama CSM untuk memudahcarakan siasatan dalam mencari penyelesaian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.