Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan di Malaysia ketika ini sudah mempunyai sekurang-kurangnya 4,100 pengecas EV awam, lapor Bernama. Sasaran awal ialah untuk mempunyai sebanyak 10,000 pengecas EV menjelang hujung tahun 2025; dan menurut rangkaian pengecas EV PLANMalaysia menunjukkan sebanyak 4,161 unit telah tersedia setakat ini.
“Di bawah perancangan mobiliti hijau, Malaysia kini sedang rancak memperluas ekosistem EV, dari prasarana pengecasan seluruh negara dan barisan kenderaan awam elektrifikasi hinggalah kepada pembentukan dasar untuk menggalakkan pengeluaran EV serta rantaian bekalan komponen tempatan,” ujarnya dalam ucapan perasmian Persidangan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (ICCHEE) 2025.
Beliau menjelaskan bahawa matlamatnya bukan hanya untuk mengurangkan emisi karbon, tetapi untuk memposisikan negara sebagai hab serantau bagi mobiliti hijau dan mapan.
Malaysia ingin mencapai tahap sifar emisi menjelang 2050 melalui enam perancangan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) — yang merangkumi kecekapan tenaga, tenaga boleh diperbaharui, biotenaga, hidrogen, mobiliti hijau dan penyerapan karbon.
Bagi mencapai tahap tenaga bersih yang lebih tinggi, Malaysia mensasarkan untuk meningkatkan perkongsian bagi tenaga boleh diperbaharui kepada 70% menjelang 2050, serta menggandakan sasaran penjimatan kecekapan tenaga kepada 22%, jelas beliau.
“Pendekatan praktikal telah pun dimulakan: pengubahsuaian bangunan berskala besar, piawaian kecekapan yang lebih kukuh untuk peralatan pengguna serta memperluas penggunaan biodiesel dari B10 kepada B20 bagi sektor pengangkutan. Ini bukanlah idea yang abstrak, sebaliknya merupakan langkah yang boleh diambil secara nyata yang boleh dinilai perkembangannya,” tambah beliau.
Berkaitan hidrogen, beliau turut menyebut tentang Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen Negara (HETR), yang mensasarkan untuk menjadikan Malayia sebagai hab hidrogen bersih di Asia Pasifik menjelang 2050. “Dengan potensi untuk untuk menjana lebih daripada RM400 bilion pendapatan, mencipta 200,000 peluang pekerjaan bary dan mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 15% menjelang 2050, hidrogen boleh membentuk semula lanskap tenaga kita,” jelas Fadillah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.