Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Porsche secara rasmi memperkenalkan model 911 paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini – Porsche 911 Turbo S generasi 992.2. Diperkenalkan di IAA Mobility Motor Show di Munich, model ini digambarkan sebagai kereta sports serba boleh yang terbaik dalam kelasnya.

Ditawarkan dalam versi coupe dan cabriolet, 911 Turbo S bukan sahaja lebih laju, tetapi juga tampil dengan reka bentuk lebih garang, sistem aerodinamik yang diperbaiki, casis yang dioptimumkan dan kelengkapan yang lebih eksklusif.

Menurut Frank Moser, timbalan presiden bagi model 911 dan 718, Turbo S generasi baru ini direka untuk menjadi lebih selesa, lebih tersendiri dan jauh lebih pantas berbanding model terdahulu, sama ada untuk kegunaan harian, perjalanan jauh atau di litar lumba.

Perubahan paling ketara hadir pada bahagian enjin, yang kini turut menggunakan sistem elektrifikasi seperti model 911 Carrera GTS. Berbeza dengan GTS yang hanya mempunyai satu pengecas turbo elektrik (eTurbo), Turbo S datang dengan dua eTurbo khas yang direka bentuk semula untuk prestasi maksimum dan maklum balas lebih pantas. Ia digabungkan dengan sistem hibrid T-Hybrid 400V dan bateri 1.9 kWh.

Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Hasilnya, jantung mekanikal 3.6 liter enam silinder rata Turbo S ini mampu menjana 711 PS dan 800 Nm tork, menjadikannya 911 produksi paling berkuasa pernah dihasilkan. Tork maksimum boleh dicapai dari 2,300 hingga 6,000 rpm, manakala kuasa puncak penuh 711 PS hadir antara 6,500 hingga 7,000 rpm – peningkatan 61 PS berbanding enjin 3.8L Turbo S sebelum ini.

Kuasa ini disalurkan melalui transmisi PDK 8-kelajuan yang turut menempatkan motor elektrik, memacu sistem pacuan semua roda. Ini membolehkan Turbo S Coupe memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.5 saat, lebih pantas dua persepuluh saat berbanding sebelumnya.

Pecutan 0-200 km/j pula hanya mengambil masa 8.4 saat, setengah saat lebih cepat, manakala kelajuan maksimum dicatat pada 322 km/j. Sebagai perbandingan, 911 GTS mencatatkan 540 PS, 610 Nm, 0-100 km/j dalam tiga saat dan kelajuan tertinggi 312 km/j.

Walaupun menerima sistem hibrid baru, berat Turbo S hanya bertambah sekitar 85 kg berbanding model sebelumnya. Porsche turut mendedahkan bahawa jentera ini berjaya mencatat masa pusingan 7:03.92 minit di Nürburgring Nordschleife, iaitu 14 saat lebih pantas berbanding Turbo S generasi lama.

Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Dari sudut dinamik pemanduan, Turbo S ini hadir dengan tayar Pirelli P Zero R baru yang menawarkan cengkaman lebih baik di permukaan kering dan masih cemerlang di jalan basah. Tayar belakang kini 10 mm lebih lebar (325/30 ZR 21), manakala tayar depan kekal pada saiz 255/35 ZR 20.

Sistem brek seramik komposit Porsche (PCCB) kini menggunakan pad brek baru dengan rasa pedal yang lebih baik, serta cakera brek belakang lebih besar (390 mm dinaikkan ke 410 mm; depan kekal 420 mm), menjadikannya sistem brek terbesar pernah dipasang pada model dua pintu Porsche.

Aerodinamik aktif turut dipertingkat, termasuk flap penyejukan menegak di bahagian hadapan, diffuser hadapan aktif, spoiler hadapan boleh laras serta sayap belakang yang boleh ditarik keluar dan dimiringkan – sama seperti Turbo S terdahulu.

Sistem ini bukan sahaja mengurangkan daya angkat, tetapi juga mengurangkan seretan mengikut situasi pemanduan. Porsche turut menyatakan bahawa dalam mod basah, diffuser hadapan akan ditutup untuk mengurangkan percikan air ke cakera brek hadapan, sekaligus meningkatkan kecekapan membrek dalam hujan.

Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Teknologi casis juga menerima peningkatan ketara dengan pengenalan sistem Porsche Dynamic Chassis Control (ehPDCC) yang dikawal secara elektro-hidraulik, dipacu oleh sistem elektrik berkuasa tinggi 400V. Sistem ini membantu mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dan meningkatkan kestabilan.

Ia menggunakan cross-connected active coupling rod yang membina tekanan mengikut situasi pemanduan untuk memastikan kereta sentiasa seimbang – memberikan keseimbangan sempurna antara keselesaan, kestabilan dan ketangkasan.

Untuk kemudahan tambahan, sistem lift axle depan turut disediakan sebagai pilihan, dan kini bertindak lebih pantas kerana integrasi sistem 400V. Turbo S generasi baru ini juga menerima sistem ekzos sport standard dengan peredam belakang dan tip titanium, menghasilkan bunyi yang lebih emosi dan unik. Sistem ekzos ini juga lebih ringan, menjimatkan 6.8 kg.

Dari sudut penampilan, Turbo S ini memperkenalkan strategi reka bentuk “Turbo” merentas model Porsche lain. Elemen khas berwarna Turbonite, iaitu warna eksklusif untuk model Turbo, digunakan pada lambang Porsche, tulisan Turbo S, bahagian tengah rim dan sirip sayap belakang serta bingkai tingkap sisi.

Porsche 911 Turbo S 2026 generasi 992.2 diperkenal – 911 produksi paling berkuasa, 711 PS, 0-100 2.5 saat

Di dalam kabin, sentuhan Turbonite boleh dilihat pada panel pintu, stereng, papan pemuka, konsol tengah, jahitan hiasan, jam Sport Chrono serta kluster instrumen. Warna gelap ini juga digunakan pada tali pinggang keledar dan beberapa butang lain. Hiasan gentian karbon dengan trim neodyme serta pelapik bumbung mikrofiber berlubang dengan latar belakang hitam turut diperkenalkan.

Tempat duduk standard adalah jenis Sports Seats Plus larasan 18-hala dengan memori dan tulisan “Turbo S” pada perehat kepala. Corak embossing eksklusif pada tempat duduk dan panel pintu diinspirasikan dari model 911 Turbo 930 klasik. Jika mahukan tempat duduk lebih sporty, tempat duduk ringan dari 911 GT3 juga ditawarkan untuk coupe.

Menariknya, versi coupe dihantar sebagai kereta dua tempat duduk, tetapi tempat duduk belakang boleh dipasang tanpa caj tambahan. Versi cabriolet pula datang dalam konfigurasi 2+2. Pelanggan juga boleh memilih pelbagai pilihan penggayaan melalui Porsche Exclusive Manufaktur, termasuk lebih 100 pilihan warna luaran, bumbung gentian karbon dan lengan pengelap karbon yang 50% lebih ringan.

Sebagai pelengkap, Porsche turut menawarkan jam tangan eksklusif Chronograph 911 Turbo S, dengan rekaan sepadan. Dihasilkan secara buatan tangan di Grenchen, Switzerland, jam ini menggunakan sarung titanium dengan salutan titanium karbida hitam dan kaliber Porsche Design WERK 01.200 yang disahkan COSC dengan fungsi flyback.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required