Pengeluar automotif China, Xpeng masih lagi menyertai IAA Mobility Show (juga dikenali sebagai Munich Motor Show) di Jerman tahun ini dengan membawa model generasi baharu Xpeng P7 yang baru dilancarkan di China bulan lalu. Pada pasaran negara asalnya, sedan elektrik ini ditawarkan dalam empat varian dan dijual pada harga bermula 219,800 hingga 301,800 yuan (sekitar RM130k hingga RM178k).
Varian paling asas dikenali sebagai P7 702 Ultra dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 74.9 kWj, memberikan jarak gerak sejauh 702 km dalam kitaran ujian CLTC. Ia hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik yang memacu roda belakang berkuasa 367 PS (270 kW) dan tork maksima 465 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Dengan asas elektrikal 800-volt, bateri tersebut menyokong penegcasan 5C yang membolehkan kuasa dari 10-80% dipenuhkan dalam masa hanya 12-minit.
Manakala tiga varian selebihnya menerima bateri nikel kobalt mangan (NMC) berkapasiti 92.2 kWj yang boleh dipenuhkan dari 10-80% dalam masa 11.3 minit. Bagi varian 820 Ultra, ia digerakkan dengan konfigurasi motor elektrik yang sama seperti varian asas 702 Ultra, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat dan memberikan jarak gerak CLTC sejauh 820 km.
Varian 750 Performance pula diberikan satu lagi motor elektrik bagi memacu roda hadapan, membolehkan ia dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 594 PS (437 kW) dan tork 695 Nm) serta kebolehan pacuan semua roda. Padanan ini menyaksikan varian 750 Performance tersebut mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat dan boleh bergerak sejauh 750 km.
Varian paling mahal untuk Xpeng P7 ini masih lagi digelar sebagai 750 Performance, menampilkan kofigurasi bateri dan motor elektrik yang sama, tetapi ia dipadankan dengan pintu hadapan yang boleh dibuka ke atas seperti ‘gunting’.
Kelajuan maksima bagi kesemua varian ditetapkan pada 230 km/j, dan kesemuanya juga datang standard dengan suspension udara dua kebuk bersama penyerap hentak bervariasi serta sistem brek Brembo dengan angkup empat omboh di hadapan. Bagi varian 750 Performance, ia ditambah dengan sistem aliran udara aktif untuk brek dan juga agihan tork pintar.
Antara kelengkapan standard lain yang ditampilkan pada P7 ini termasuk sistem bantuan pemanduan digelar sebagai VLA (Vision-Language-Action), fungsi-fungsi sistem keselamatan aktif, paparan instrumen digital dengan skrin 8.8-inci, skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 15.6-inci, paparan cermin pandang belakang sembilan-inci, paparan head-up 87-inci, skrin hiburan untuk kabin belakang 8-inci, pelbagai fungsi yang dikuasakan AI dan banyak lagi.
Ketika acara IAA Mobility Show ini berlangsung, Xpeng turut mengumumkan bahawa ia bakal membuka pusat R&D baharu di Munich bulan ini sebagai salah satu rancangan bagi mengembangkan operasinya diperingkat global. Manakala menerusi laporan CNBC, Xpeng mengumumkan bahawa ia bakal melancarkan sub-jenama baharu tahun depan yang digelar sebagai Mona, iaitu jenama pasaran besar untuk luar dari China.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.