Chery O5 2025 dilancarkan di Malaysia – DCT ganti CVT, suspensi belakang multi-link; dari RM116,800

Chery O5 2025 dilancarkan di Malaysia – DCT ganti CVT, suspensi belakang multi-link; dari RM116,800

Selepas beberapa hari menyiarkan imej teaser kedatangan model baharunya di pasaran, lewat petang ini Chery Malaysia melancarkan Chery O5 yang merupakan nama baharu bagi Omoda 5 facelift. Untuk pasaran Malaysia, Chery O5 ini dihadirkan dengan varian tunggal yang ditawarkan dengan harga atas jalan RM116,800 tanpa insurans.

Bagi anda yang mungkin tertanya-tanya mengenai nama baharu ini, O5 iaitu versi facelift bagi SUV segmen-C Omoda 5, tidak lagi menggunakan nama ‘Omoda’ kerana jenama itu telah diletakkan di bawah sub-jenamanya iaitu Omoda | Jaecoo untuk pasaran tempatan. Namanya juga berbeza untuk pasaran Indonesia, dikenali sebagai Chery C5, setelah ia dilancarkan di republik berkenaan pada Jun lalu.

Chery O5 ini masih lagi dipacukan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo yang menghasilkan kuasa 156 PS (115 kW) dan tork maksima 230 Nm. Namun ia tidak lagi akan diberikan kotak gear CVT, sebaliknya digantikan dengan kotak gear DCT klac berkembar automatik enam-kelajuan. Ia juga diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Chery O5 2025 dilancarkan di Malaysia – DCT ganti CVT, suspensi belakang multi-link; dari RM116,800

Bagi memantapkan lagi pengendaliannya, model ini diberikan tetapan suspensi belakang baharu iaitu multi-link yang menggantikan unit torsion beam pada versi sebelum ini. Manakala suspensi hadapannya masih dikekalkan dengan unit MacPherson Strut. Bagi memberikan kepuasan dalam pemanduan, ia juga diberikan Stereng Kuasa Elektrik (EPS) dengan dua mod stereng iaitu Comfort dan Sport.

Menampilkan wajah baharu yang ditampilkan dengan lampu utama LED yang turut dihiasi jalur grafik lampu nyalaan siang LED sama seperti versi EV Omoda E5, pencahayaan Follow Me Home, lampu kabus LED hadapan dan belakang, bampar baharu yang direka bagi membentuk elemen-X pada bahagian wajahnya, berserta gril pada bahagian bawah yang direka lebih besar.

Manakala pada gril hadapan ditampilkan sedikit lebih kecil dengan elemen rekaan Pixel Diamond yang hadir dalam kemasan hitam. Walau bagaimanapun, tulisan ‘OMODA’ pada bar sambungan antara lampu nyalaan siang hadapan masih lagi dikekalkan, tidak seperti model pasaran Australia di mana ia sudahpun menerima skrip ‘CHERY’ pada tempat yang sama.

Melengkapkan gayanya, O5 2025 turut diberikan rim bersaiz 18-inci berwarna hitam dengan rekaan baharu yang dibaluti tayar bersaiz 215/55 R18, bumbung panoramik kuasa dengan tirai suria, skirt tepi, spoiler belakang dan tailgate kuasa bukaan bebas tangan. Rekaan lainmasih dikekalkan termasuk lampu belakang penuh melintang, dan dua paip ekzos hiasan.

Tiada perubahan pada ruang kabinnya dan masih menampilkan ciri kelengkapan termasuk skrin berkembar bagi kluster instrumen LCD dan skrin sesentuh multimedia bersaiz 10.25-inci, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, tempat duduk ventilasi, pendingin hawa dwi-zon automatik dengan corong udara untuk penumpang belakang, penapis kabin N95, tombol gear kompak, tempat duduk balutan kulit tiruan gaya-bucket seat dengan larasan kuasa enam-hala untuk pemandu dan empat-hala bagi penumpang hadapan di mana kedua-duanya disertakan dengan fungsi ventilasi.

Selain itu, ia juga diberikan Smart Entry dengan butang penghidup enjin, pencahayaan ambien dinamik 64-warna, sistem audio Sony dengan lapan-pembesar suara serta pengecas tanpa wayar, pad pengecas tanpa wayar, perehat tangan tengah di hadapan dengan storan penyejukan, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Chery O5 2025 dilancarkan di Malaysia – DCT ganti CVT, suspensi belakang multi-link; dari RM116,800

Bagi aspek keselamatan, ia diberikan sistem kamera pemantau sekeliling ‘540-darjah’, enam beg udara, penderia parkir hadapan dan belakang, ISOFIX, EBD, ABS, Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC), Kawalan Turun Bukit (HDC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar.

Chery O5 2025 yang telah menerima penarafan lima-bintang ANCAP, turut diberikan bantuan pemandu ADAS Tahap 2 yang merangkumi 18 ciri iaitu Front Collision Warning (FCW) Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Lane Keep Assist (LKA) Traffic Jam Assistant (TJA) dan Integrated Cruise Control (ICC).

Ciri lain termasuk Speed Control Assist (SCA), Intelligent Speed Assist (ISA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Speed Limit Assist (SLA), Lane Change Assist (LCA), Lane Departure Prevention (LDP) Drive Away Information (DAI), Blind-spot Detection (BSD), Emergency Lane Keeping Assist (ELKA), Traffic Signs Recognition (TSR) dan Intelligent Headlight Control (IHC).

Ditawarkan dengan empat pilihan warna iaitu Carbon Black, Phantom Grey, Khaki White dan Blood Stone Red, SUV segmen-B ini berukuran 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,588 mm tinggi dan jarak roda 2,630 mm, dan ia bersaing rapat dengan Honda HR-V (antara RM115,900-RM137,900) dan Proton X50 (antara RM89,800-RM113,800).

Sekali lagi, Chery O5 2025 ini ditawarkan dengan harga atas jalan RM116,800 tanpa insurans, yang turut didatangkan dengan waranti standard tujuh-tahun atau 150,000 km (mana tiba terlebih dahulu) dengan lima-tahun selenggara percuma (kos buruh sahaja) serta bantuan tepi jalan 24/7 tanpa had dan sewaktu pelancarannya, Chery Malaysia turut mengumumkan Launch Package yang merangkumi waranti penjana kuasa 10-tahun/1,000,000 km (bernilai RM2,000) dan tiga-tahun selenggara percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti – bernilai RM4,000).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required