Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan sejumlah 13,071 notis saman menerusi Ops Khas Gempur Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 September lalu. Operasi yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini bertujuan untuk terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dengan pendekatan yang lebih tegas terhadap semua kenderaan perdagangan yang ingkar peraturan dan undang-undang jalan raya
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli bin Ma Hassan berkata setakat semalam, sebanyak 133,598 kenderaan telah diperiksa dan pihaknya juga telah menyita 274 buah kenderaan. Antara kesalahan yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada insurans, tiada Lesen Vokasional serta kesalahan teknikal yang lain.
“Pihak JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi ketetapan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) beserta Kaedah-kaedah di bawahnya, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
“Orang ramai diseru untuk melaporkan aduan berkaitan kesalahan yang melibatkan kenderaan perdagangan secara terus atau real time menggunakan aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.