Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

Selepas Mercedes-Benz CLE300 dibawa ke pasaran tempatan pada Mei tahun lalu, hari ini secara Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan pula coupe berkenaan dalam versi prestasi sebenar dengan lencana AMG – ini dia Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe secara rasminya dijual pada pasaran tempatan.

Ia dijual pada harga atas tanpa insuran dengan cukai jualan RM722,888, dan setiap pembelian akan dilindungi oleh waranti selama empat-tahun tanpa had perbatuan.

Berbanding CLE300 yang digerakkan oleh enjin M256 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris petrol yang menghasilkan 259 PS/400 Nm, perut CLE53 AMG ini pula disumbat dengan enjin turbo 3.0 liter enam silinder sebaris yang dikenali sebagai enjin M256M, iaitu unit M256 yang telah dipertingkat.

Antara peningkatan yang dibuat adalah termasuk kepala silinder yang direka dengan kebuk pembakaran lebih optima melibatkan port masuk campuran udara-bahan api dan port ekzos yang direka semula, gegelang omboh baharu, sistem suntikan bahan api yang turut dioptimakan, serta pengecas turbo juga baharu.

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

Oleh itu enjin ini mampu menghasilkan kuasa 449 PS bermula 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork maksima 560 Nm bermula 2,200 hingga 5,000 rpm. Tak cukup dengan itu, ia turut diberikan satu lagi pemampat udara elektrik yang menambah tekanan boost sebanyak 0.4 bar kepada 1.5 bar dalam mod overboost, memberikan tork puncak 600 Nm selama 12 saat.

Ia digandingkan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift TCT 9G yang bukan sahaja berfungsi menyalurkan kuasa putaran enjin ke gandar, malah ia turut menerima unit starter generator yang bersepadu (ISG) di dalamnya, memberikan kuasa tambahan sehingga 23 PS/205 Nm ketika memecut, bertindak sebagai salah satu komponen sistem hibird ringkas 48-volt CLE53 ini, yang turut memberikan fungsi start-stop yang lebih lancar.

Model ini juga menerima sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ yang mengagihkan tork pada gandar belakang dan hadapan secara bervariasi mengikut situasi. Gandingan semua unit rangkaian kuasa ini membolehkan Mercedes-AMG CLE53 memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.2 saat. Kelajuan maksima dihadkan pada 250 km/j, namun model pasaran Malaysia ini datang standard dengan AMG Driver’s Package membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 270 km/j.

CLE53 juga datang dengan suspensi AMG Ride Control yang menggunakan spring lingkaran serta penyerap boleh laras adaptif yang mempunyai pilihan tiga mod iaitu Comfort, Sport and Sport+. Ia turut dipadankan dengan sistem stereng sensitif-kelajuan tiga peringkat AMG bersama stereng untuk gandar belakang yang mampu memberikan putaran sehingga sudut maksima 2.5 darjah.

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

Manakala untuk memberhentikan coupe ini, ia menerima sistem brek terdiri dari cakera berliang 370 mm bersama angkup empat omboh di hadapan dan juga cakera 360 mm dengan satu angkup omboh tunggal terapung di belakang.

Model pasaran Malaysia ini juga datang dengan pakej AMG Dynamic Plus secara standard, menampilkan mod pemanduan Race yang turut memberikan mod drift. Pakej ini juga datang sekali dengan roda stereng prestasi AMG yang dibalut dengan Artico seperti kulit Nappa dan diberikan butang kawalan program pemanduan serta tetapan dinamik lain, angkup brek warna merah dengan tulisan AMG serta cagak enjin aktif.

Sudah tentu rupa luaran CLE53 AMG ini tampil lebih agresif berbanding CLE300 biasa. Rupa lebih ganas tersebut disumbangkan dari bampar dengan rekaan pengalir udara yang lebih besar serta keempat-empat fender yang lebih lebar bagi menempatkan rim aloi AMG 20-inci dengan tetapan jarak trek roda 58 mm lebih lebar di hadapan dan 75 mm lebih lebar di belakang.

Model pasaran Malaysia ini diberikan standard dengan AMG Night Package I yang menampilkan kemasan hitam berkilat pada jalur kemasan pada apron hadapan AMG, penutup cermin sisi dan kemasan tip ekzos. AMG Night Package II juga diberikan standard dengan perincian dalam kemasan krom gelap pada gril hadapan dan juga emblem-emblem sekeliling badan.

Mercedes-AMG CLE53 4Matic+ Coupe dilancar di Malaysia – RM723k, 449 PS/560 Nm, 0-100 km/j 4.2s

Selain itu ia juga diberikan AMG Exterior Carbon-Fibre Package I juga secara standard, memberikan jalur kemasan pada apron hadapan AMG, kemasan sisi dan juga kemasan pada apron belakang, semuanya diperbuat dari material gentian karbon.

Perincian luaran lain yang turut dipadankan pada CLE53 AMG pasaran Malaysia ini adalah termasuk lampu hadapan Digital Light dengan fungsi lampu tinggi adaptif, lip spoiler AMG, bumbung kaca panaromik dan lampu suasana yang memancarkan logo Mercedes-Benz.

Kabin CLE53 ini juga disuntik dengan lebih banyak elemen perlumbaan. Ia masih menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menampilkan skrin sesentuh 11.9-inci di tengah dan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, di mana kedua-duanya menerima pelbagai fungsi khas serta grafik paparan AMG dan juga AMG Track Pace.

Ia dihubungkan kepada sistem bunyi sekeliling 3D Burmester, serta ditambah dengan perincian lain seperti paparan head-up dan juga penegcas telefon pintar tanpa wayar.

Ia juga datang standard dengan tempat duduk prestasi AMG dengan fungsi larasan elektrik dan memori yang dibalut dengan upholsteri kulit sintetik Artico bersama serlahan-serlahan jahitan benang merah, tali pinggang yang juga berwarna merah, kemasan gentian karbon di beberapa bahagian, kemasan pada panel instrumen dengan upholsteri Artico yang nampak seperti kulit Nappa, karpet kaki AMG, kemasan bendul pintu bernyala AMG dan lain-lain.

Manakala untuk keselamatan pula Mercedes-AMG CLE53 pasaran Malaysia ini diberikan Driving Assistance Package Plus yang menanpilkan fungsi seperti bantuan jarak Distronic, bantuan stereng aktif, bantuan titik buta aktif dan pelbagai lagi.

Ia juga diberikan Parking Package dengan Memory Parking Assist bagi membantu pemandu memarkir kenderaan, dibantu oleh kamera 360 darjah dan bantuan parkir aktif dengan Parktronic. Sistem Guard 360° juga diberikan bagi menjaga keselamatan sekeliling kereta ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required