Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

Mercedes-Benz berjaya menguji sebuah model EQS yang dilengkapi dengan bateri solid-state prototaip, mencatat jarak perjalanan sejauh 1,205 kilometer dengan hanya satu cas penuh. Perjalanan tersebut bermula dari Stuttgart, Jerman, merentasi Denmark dan berakhir di Malmo, Sweden — tanpa sebarang pengecasan semula sepanjang laluan.

Menurut kenyataan pihak Mercedes-Benz, kenderaan itu masih mempunyai baki jarak sekitar 137 km sebelum baterinya benar-benar habis. Sebagai perbandingan, EQS450+ versi produksi biasa dengan bateri 118 kWh hanya mampu mencapai jarak maksimum sekitar 822 km mengikut piawaian ujian WLTP.

Pencapaian ini dibuat selepas pengumuman awal Mercedes-Benz pada Februari lalu bahawa mereka telah memulakan ujian jalan raya bagi teknologi bateri solid-state. Teknologi ini dibangunkan bersama Mercedes-AMG High Performance Powertrains (HPP), anak syarikat milik penuh Mercedes-Benz Group yang berpangkalan di Brixworth, United Kingdom dan pakar dalam teknologi Formula 1.

Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

Perjalanan ini merupakan sebahagian daripada program pengesahan menyeluruh bagi teknologi bateri solid-state yang sedang dijalankan oleh Mercedes-Benz. Tujuannya adalah untuk menilai prestasi kenderaan secara keseluruhan dalam pelbagai keadaan cuaca dan jenis laluan, sekaligus mempercepatkan proses membawa teknologi ini ke tahap pengeluaran massa.

Ketua Pegawai Teknologi Mercedes-Benz Group, Markus Schafer berkata bahawa bateri solid-state ini merupakan satu lonjakan besar dalam mobiliti elektrik. Katanya, kejayaan pemanduan jarak jauh ini membuktikan bahawa teknologi ini bukan sahaja berkesan di makmal, tetapi juga di atas jalan raya sebenar. Mercedes-Benz mensasarkan untuk memperkenalkan inovasi ini dalam model pengeluaran menjelang penghujung dekad ini, menawarkan kepada pelanggan jarak perjalanan jauh serta keselesaan baru.

Bateri solid-state yang diuji menggunakan sel dari syarikat Amerika Syarikat, Factorial Energy. Walaupun saiz dan beratnya setanding dengan bateri biasa dalam EQS sedia ada, ia menawarkan peningkatan jarak penggunaan sehingga 25%. Tambahan pula, kecekapan tenaga dipertingkatkan melalui sistem penyejukan aliran udara pasif.

Mercedes-Benz EQS guna bateri solid-state prototaip lengkapkan perjalanan 1,205 km satu cas penuh

Antara kelebihan utama bateri solid-state berbanding bateri lithium-ion konvensional termasuk tahap keselamatan sel yang lebih baik kerana menggunakan elektrolit pepejal dan bukan cecair, serta membolehkan penggunaan anod baru seperti logam lithium. Ini juga menyumbang kepada prestasi yang lebih tinggi, termasuk ketumpatan tenaga yang lebih besar.

Mercedes-Benz menyifatkan pencapaian ini sebagai satu penanda aras penting dalam pembangunan bateri solid-state dan menunjukkan potensi besar teknologi ini untuk digunakan dalam kenderaan produksi masa hadapan. Seperti yang ditegaskan oleh Schafer, Mercedes-Benz komited untuk membawa inovasi ini kepada model pengeluaran menjelang akhir dekad.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required